Enggan Pelawa Muhyiddin Hadir Mesyuarat, PN Berkubur?

Selain Muhyiddin, beberapa pemimpin Bersatu yang meletak jawatan termasuk Azmin Ali, Ahmad Faizal Azumu dan Sharudin Jamal turut ‘diketepikan’ daripada pelawaan mesyuarat Perikatan Nasional atas alasan tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam PN.

PENDAPAT, 27 Jan – Keengganan Perikatan Nasional (PN) mempelawa Muhyiddin Yassin menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN bagi memilih pengerusi baharu pada 29 Januari di ibu pejabat Parti Gerakan, jelas memberi isyarat bahawa Presiden Bersatu itu sudah tidak lagi dihargai, malah kian terhakis penghormatan terhadap beliau dalam gabungan tersebut.

Situasi ini bukan sahaja mencerminkan krisis kepimpinan dalaman PN paling buruk dalam sejarah, tetapi turut menimbulkan persoalan besar terhadap kesediaan gabungan itu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Gerakan Berisiko ‘Hilang Sokongan’ Bukan Melayu Akibat Kritikan Pas

Kenyataan Takiyuddin Hassan, tanpa sedar atau tidak, tanpa berfikir atau ‘menyondol’, sebenarnya mendedahkan satu hakikat pahit: PN kini bergelumang dalam situasi keabsahan dan integriti paling getir sepanjang penubuhannya pada 7 Ogos 2020.

Apabila presiden sebuah parti teras boleh diketepikan semudah itu hanya atas alasan teknikal, maka seluruh konsep muafakat dan kolektif PN hancur sehancur hancurnya.

Abdul Hadi disahkan tidak dicalon sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hasil perbincangan dan persetujuan kepimpinan tertinggi parti berkenaan pada 26 Januari 2026.

Sebagai tokoh utama yang pernah menerajui PN dan membawa gabungan itu ke tampuk kuasa biarpun cuma 17 bulan sebelum diambil alih Ismail Sabri Yaakob, Muhyiddin seharusnya diberi ruang dan penghormatan sewajarnya dalam proses peralihan kepimpinan.

Tindakan meminggirkan beliau daripada mesyuarat penting memperlihatkan budaya politik yang tidak matang serta kegagalan menghargai sumbangan pemimpin terdahulu.

Kemelut di Perlis yang tercetus hingga menyebabkan Muhyiddin meletak jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebenarnya mendedahkan lagi kelemahan PN walaupun Pas cuba ‘memperbaiki’ atap yang bocor dengan menolak Muhyiddin secara total tanpa memikir masa depan PN sendiri.

Ia juga menggambarkan wujudnya perebutan kuasa dan permainan dalaman yang semakin ketara dalam PN yang tidak segan silu melondehkan pekung mereka kepada pengetahuan umum.

Selain Muhyiddin, beberapa pemimpin Bersatu yang meletak jawatan termasuk Azmin Ali, Ahmad Faizal Azumu dan Sharudin Jamal turut ‘diketepikan’ daripada pelawaan atas alasan tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam PN.

Lebih membimbangkan, episod malang ini memberi gambaran kepada rakyat bahawa PN sedang bergelut dengan masalah kepercayaan dan kesepaduan sesama pemimpin dalam parti gabungan.

Keengganan Pas menyelesaikan isu dalaman Bersatu berpunca daripada menantu Muhyiddin sendiri semakin menampakkan kesan besar terhadap perpaduan dalam Perikatan Nasional (PN) seolah-olah hanya menunggu ‘retak menanti belah’.

Jika soal adab, penghormatan dan pengurusan peralihan kepimpinan pun gagal diurus dengan baik, bagaimana gabungan ini mahu meyakinkan pengundi bahawa mereka bersedia mentadbir negara dengan stabil dan berkesan?

Menjelang PRU ke-16, PN sepatutnya menampilkan imej bersatu, matang dan berwibawa. Namun tindakan meminggirkan Muhyiddin hanya mengukuhkan persepsi bahawa gabungan itu lebih sibuk bergelut dengan konflik dalaman berbanding merangka tawaran dasar yang meyakinkan rakyat.

Kehadiran Muhyiddin ke teratak Hashim di Arau sebenarnya tidak membawa apa-apa makna selain hanya ‘mengeratkan’ silaturrahim yang goyah ekoran krisis politik di Perlis yang membawa kepada kehilangan jawatan menteri besar.

Amatlah menghairankan, keengganan mempelawa Muhyiddin bukan sekadar isu prosedur, tetapi simbol kegagalan PN memelihara hormat dan kesepakatan — dua elemen asas untuk menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *