PMO Tolak Dakwaan Agenda Reformasi ‘Retorik’

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah ketika menyampaikan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 19 Jun 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 20 Jun – Agenda reformasi bukan retorik, sebaliknya berlangsung dengan rancak sejak awal pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tegas Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Menjelaskan dakwaan itu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menegaskan, sebarang tohmahan yang mengaitkan agenda reformasi tidak berlaku adalah tidak berasas sama sekali.
“Perdana Menteri telah menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan sentiasa mendengar dan terbuka kepada kritikan membina. Pendirian ini diterjemah melalui tindakan.
“Sebarang teguran dilihat sebagai peluang untuk menambah baik dan pencapaian hari ini adalah cerminan kepada pendekatan itu.
“Agenda reformasi kerajaan sedang berjalan dengan konsisten, bukan hanya dalam sehari, bukan sekadar dalam kenyataan, tetapi dalam tindakan yang berstruktur.

“Seperti yang telah dibentangkan Perdana Menteri melalui kerangka Ekonomi MADANI, teras utama adalah untuk menaikkan siling yakni memperkukuh kekuatan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terus meningkat,” katanya dalam Taklimat Harian PMO yang disiarkan di platform media sosial pada Khamis.
Mengulas lanjut prestasi Kerajaan MADANI, Tunku Nashrul berkata pelaburan terus masuk ke negara ini mencerminkan bukti keyakinan pelabur dan syarikat-syarikat asing terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Mengikut rekod, katanya Malaysia berjaya mencatatkan RM89.8 bilion pelaburan diluluskan bagi suku pertama tahun ini, meningkatkan 3.7 peratus berbanding tahun lalu di tengah-tengah lanskap global semakin mencabar.
“Pelaburan ini bakal menjana 1,600 projek baharu di seluruh negara dan lebih 33,000 peluang pekerjaan.
“Selain itu, dalam sektor mikroelektronik dan semikonduktor, Malaysia turut memperoleh RM4.6 bilion potensi pelaburan dan RM507 juta potensi eksport hasil penyertaan di SEMICON Southeast Asia 2025.
“Kesemua pengumuman ini adalah bukti keyakinan pelabur terhadap dasar reformasi negara,” katanya.
Untuk rekod, peningkatan daya saing Malaysia dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) antara kejayaan reformasi ekonomi yang diusahakan sejak 2023.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



