PM Takaichi Tiba Wakili Jepun Ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, tiba di Malaysia menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 25 Oktober 2025. Foto Bernama
SEPANG, 25 Okt – Perdana Menteri Jepun yang baharu dilantik Sanae Takaichi tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula esok hingga 28 Oktober ini.
Kehadiran Takaichi turut merupakan lawatan pertama pemimpin itu ke Kuala Lumpur selepas dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun pada Selasa lepas.
Pesawat khas membawa Takaichi dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 7.29 malam dan disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa selaku menteri pengiring.

Sejurus tiba, Takaichi kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kemudian diiringi para pegawai kerajaan kedua-dua negara menuju hotel penginapan di ibu negara.
Menurut Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata, lawatan Takaichi akan menjadi platform penting untuk menzahirkan sokongan berterusan negara itu terhadap kepusatan ASEAN dan kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi blok serantau itu tahun ini.
Takaichi yang menggantikan Shigeru Ishiba dijadual mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Malaysia bagi meneroka kerjasama dalam keselamatan maritim, daya tahan ekonomi, peralihan hijau dan hal ehwal kemanusiaan di bawah rangka kerja ASEAN.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 30 pemimpin dunia termasuk dari rantau ASEAN, Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan bagi memperkukuh jalinan serta kerjasama, di samping membincangkan isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.
Difahamkan kehadiran Takaichi menjadi akan memberi peluang buat pemimpin Jepun itu bertentang mata dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang akan melakukan lawatan ke Tokyo sejurus Sidang Kemuncak ASEAN berakhir pada Selasa.
Pemimpin daripada badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut dijadual menghadiri mesyuarat serantau berkenaan.

Takaichi dijangka akan mengetengahkan isu-isu global serta keselamatan bagi menstabilkan geopolitik serta isu perdagangan antara Jepun dan ASEAN.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
