PM Takaichi Komited Eratkan Kerjasama Indo-Pasifik Menerusi Kerjasama Jepun-ASEAN

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) bagi menjadikan Jepun dan ASEAN lebih teguh serta makmur.
Ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28 di sini hari ini, Takaichi menegaskan, Jepun dan ASEAN telah membina hubungan erat serta kerjasama mendalam yang berterusan dalam pelbagai bidang sejak sekian lama.
“Jepun berpegang kepada Dasar Indo-Pasifik Bebas dan Terbuka Jepun (FOIP) serta secara konsisten menyokong AOIP, yang berkongsi prinsip asas yang sama.

“Adalah amat menggembirakan apabila hari ini kita dapat mengeluarkan kenyataan bersama dengan para pemimpin ASEAN yang menegaskan sinergi antara FOIP dan AOIP, serta mengukuhkan komitmen untuk mempertingkatkan lagi kerjasama antara Jepun dan ASEAN,” katanya.
Takaichi yang baru dilantik sebagai perdana menteri Selasa lalu, hadir pada persidangan kemuncak berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Takaichi mengimbau kembali detik apabila tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-10 sejak bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, melancarkan FOIP pada tahun 2016.

“Kita akan menggunakan peluang ini untuk menyusun semula FOIP sebagai tonggak utama diplomasi Jepun, serta memperkasanya seiring dengan perubahan semasa,” katanya.
Presiden Parti Liberal Demokrat (LDP) itu turut menzahirkan penghargaan kepada Anwar atas usaha penganjuran serta sambutan mesra yang diberikan selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
