PM Anwar Terkejut Pelawaan Presiden Trump Naiki ‘The Beast’ Ke KLCC

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat ‘The Beast’ atas permintaan Donald Trump dari Kompleks Bunga Raya KLIA menuju KLCC pada pada 26 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terkejut dengan pelawaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang tetap bertegas mahukan beliau menaiki kenderaan rasmi Presiden bersama-samanya bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.
Anwar mendedahkan bahawa Trump secara tidak dijangka menjemputnya menaiki kereta presiden dikenali sebagai The Beast, yang bertentangan dengan protokol keselamatan Presiden AS.

Untuk rekod, hanya dua pemimpin asing pernah menaiki kenderaan versi baharu paling eksklusif di dunia itu iaitu Perdana Menteri Arab Saudi, Raja Mohamad bin Salman dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Perkongsian kisah di Kompleks Bunga Raya KLIA itu didedahkan ketika beliau bersama Presiden Donald Trump dalam perjalanan ke ibu negara sebaik pesawat Air Force One tiba jam 9.54 pagi tadi.

Anwar bercerita bagaimana Trump telah ‘melanggar’ protokol Perkhidmatan Rahsia AS (US Secret Service) berkenaan kenderaan rasmi yang kebiasaannya hanya dinaiki Presiden ketika melakukan lawatan ke luar negara.
Ketika menaiki pentas selepas dijemput Presiden AS itu untuk berucap pada majlis berkenaan, Anwar memulakan ucapan dengan mengucapkan terima kasih kepada Trump atas usahanya membantu merundingkan gencatan senjata di antara Thailand dan Kemboja.

Kata Perdana Menteri, beliau mengagumi ketabahan dan keberanian Trump kerana dunia memerlukan pemimpin yang memupuk keamanan.
“Dan untuk mencapainya, kadangkala kita perlu melanggar beberapa peraturan, seperti yang anda (Trump) lakukan,” kata Anwar sambil menoleh ke arah Presiden AS itu yang duduk berhampiran.

“Dia begitu gembira melanggar peraturan. Ia satu perjalanan yang menyeronokkan,” kata Anwar sambil menambah bahawa beliau juga mengambil peluang membincangkan isu-isu lain dengan Presiden AS berkenaan.
Beliau antara lain mengucapkan terima kasih atas usaha Trump dalam memastikan keamanan di kawasan lain, termasuk Gaza.

“Saya amat gembira Tuan Presiden, mendengar betapa tekadnya anda untuk memastikan keamanan tercapai di kawasan yang paling sukar sekali pun.
“Ia hampir mustahil, namun anda berjaya melakukannya dan kami telah menunjukkan sokongan kami serta menggesa Amerika Syarikat untuk meneruskannya dengan sokongan banyak negara lain di seluruh dunia,” tambah Perdana Menteri.

Perjanjian damai bersejarah yang ditandatangani Thailand dan Kemboja, dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur, membuka jalan untuk menamatkan beberapa bulan pertelagahan ketenteraan yang mengorbankan banyak nyawa.
Perjanjian itu yang ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, disaksikan oleh Trump dan Anwar.

Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN bersama Trump sebelumnya berusaha untuk menamatkan pertempuran di sempadan kedua-dua negara berkenaan.
Pada 28 Julai lalu, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya di antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di sempadan bersama kedua-dua negara.

Gencatan senjata itu dianggap sebagai satu kejayaan besar ASEAN kerana berjaya mengelakkan konflik ketenteraan lebih luas, sekali gus memastikan keselamatan ribuan penduduk di kedua-dua belah sempadan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
