Gaza: ASEAN Sokong Pelan Trump Tamatkan Konflik – PM Anwar

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 Oktober 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 26 Okt – Negara-negara ASEAN mengalu-alukan rancangan komprehensif Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan konflik di Gaza, Palestin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, pelan komprehensif dikemukakan Presiden AS, Donald Trump bagi menamatkan konflik Gaza itu memberi sinar baharu kepada dunia dalam mencapai perdamaian yang adil dan berkekalan.
Menjelaskan lanjut, Anwar berkata, pelan itu membuktikan meskipun berdepan konflik paling sukar, diplomasi dan keteguhan tekad tetap mampu mengatasi segala perbezaan.

“Berhubung isu Gaza, kami menyambut baik pelan komprehensif anda untuk menamatkan konflik Gaza.
“Ia telah memberi dunia sinar harapan baharu, bahawa walaupun dalam konflik paling sukar, diplomasi dan keteguhan tekad masih mampu mengatasi segala perbezaan,” katanya pada ucapan pembukaan Persidangan ASEAN-AS di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, ASEAN yakin di bawah kepimpinan AS, rantau ini akan mencapai perdamaian yang adil dan berkekalan.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai hubungan ekonomi antara ASEAN dan AS yang semakin kukuh di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Ekonomi pesat antara AS dan Asia Tenggara mempunyai potensi besar untuk mewujudkan zaman keemasan bagi semua negara.
“Tahun lalu, perdagangan dua hala mencapai rekod tertinggi AS$453 bilion, menyokong pekerjaan dan perniagaan di seluruh ASEAN dan AS,” katanya.

Menurutnya, ASEAN dan AS turut bersetuju untuk mengguna pakai Kenyataan Wawasan Bersama ASEAN–AS bagi memperkukuh komitmen ke arah kerjasama lebih kukuh, selamat dan makmur.
“Kenyataan ini mencerminkan tekad kita menukar kerjasama kepada hasil nyata dengan manfaat jelas kepada kedua-dua rantau,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
