PM Kemboja, Pemangku PM Thailand Setuju Gencatan Senjata – PM Anwar

Anwar Ibrahim bersama Hun Manet dan Phumtham Wechayachai ketika hadir pada mesyuarat khas bagi rundingan peringkat tinggi untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua negara di Putrajaya pada 28 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 28 Jul – Kemboja dan Thailand bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula tengah malam susulan pertempuran maut di sepanjang sempadan kedua-dua negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Persetujuan itu dicapai selepas satu mesyuarat dihadiri Perdana Menteri, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai ketika konflik berdarah masuk hari kelima hari ini dan sudah meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa.
“Kemboja dan Thailand telah mencapai persefahaman bersama…bagi melaksanakan gencatan senjata segera tanpa syarat bermula tengah malam,” kata Anwar pada sidang media bersama kedua-dua pemimpin itu.

“Ini adalah langkah awal yang penting ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan dan keselamatan,” ujar Anwar.
Beliau berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju menyambung semula komunikasi langsung antara perdana menteri, menteri luar, dan menteri pertahanan masing-masing.
Menteri luar dan pertahanan Malaysia, Kemboja, dan Thailand turut diarah merangka satu mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan, dan pelaporan gencatan senjata itu.

“Mekanisme ini akan menjadi asas kepada keamanan yang berkekalan dan kebertanggungjawaban,” kata Anwar.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin bersetuju mengadakan mesyuarat tidak rasmi melibatkan komander wilayah esok pagi, diikuti mesyuarat bersama atase pertahanan tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak.
Kedua-dua pemimpin juga akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum yang akan dihoskan Kemboja, pada 4 Ogos ini.

Anwar berkata, mesyuarat itu menegaskan semula komitmen bersama Malaysia, Kemboja, dan Thailand menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hidup aman bersama, serta kerjasama pelbagai hala dalam usaha mencapai penyelesaian yang ‘adil dan berkekalan’ terhadap situasi tersebut.
Phumtham pula menyuarakan harapan agar gencatan senjata itu dilaksanakan ‘dengan penuh keikhlasan’ oleh kedua-dua negara.

“Thailand mahukan penyelesaian secara aman,” katanya.
Hun Manet pula berkata, beliau berharap langkah-langkah diumumkan Anwar akan membuka jalan kepada perbincangan dua hala secara terbuka serta menjadi asas kepada pengurangan ketegangan pada masa akan datang.
Beliau turut menghargai usaha Anwar kerana menganjurkan mesyuarat yang ‘mendesak dan tepat pada masa’ serta ikhtiar menjadi perantara bagi mencapai gencatan senjata segera antara kedua-dua negara.

Mesyuarat hari ini, yang diusahakan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, diadakan bagi meredakan ketegangan susulan pertempuran terburuk antara dua jiran tetangga Asia Tenggara itu dalam tempoh lebih sedekad.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
