Kemboja, Thailand Yakin Hubungan Dapat Dipulihkan

Anwar Ibrahim bersama Hun Manet dan Phumtham Wechayachai ketika hadir pada mesyuarat khas bagi rundingan peringkat tinggi untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua negara di Putrajaya pada 28 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 28 Jul – Kemboja dan Thailand yakin persefahaman bersama dicapai menerusi mesyuarat khas dipengerusikan Malaysia hari ini berupaya membuka lembaran baharu kepada hubungan, keyakinan dan kerjasama lebih positif antara kedua-dua negara terbabit.
Komitmen itu dizahirkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, yang berkata perbincangan bersama itu bukan sahaja mencapai persetujuan untuk gencatan senjata, malah memberi peluang kepada rakyat di kedua-dua negara untuk membina semula hubungan dua negara.
“Saya yakin keputusan dicapai hari ini memberi peluang kepada ratusan ribu rakyat di kedua-dua negara untuk kembali kepada kehidupan normal dan menghentikan konflik sedia ada.

“Ia juga masa yang tepat untuk kita sama-sama membina kepercayaan, keyakinan dan kerjasama lebih kukuh antara Thailand dan Kemboja,” katanya pada Sidang Media Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.
Mesyuarat terbabit dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN.
Turut hadir, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan delegasi kerajaan negara itu.

Beliau turut berharap penyelesaian yang diumumkan Anwar selaku perantara kepada perbincangan itu akan membuka jalan kepada perbincangan dua hala bagi memulihkan hubungan Thailand-Kemboja yang sekian lama dilanda konflik.
Kedua-dua pemimpin turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas keprihatinan dan kesediaan mempengerusikan mesyuarat penting terbabit.
Katanya, usaha Anwar dan Malaysia yang mencadangkan untuk menjadi perantara bagi meredakan ketegangan sebaik konflik bersenjata antara kedua-dua negara itu bermula pada 24 Julai lalu membuka ruang untuk mencari titik tengah dan penyelesaian secara aman.

Sementara itu, Phumtham yang juga Menteri Dalam Negeri Thailand berkata, penyelesaian dicapai hari ini selari dengan pendirian Thailand untuk meleraikan konflik itu secara aman.
Katanya, hasrat kerajaan Thailand adalah memastikan kedaulatan negara dan rakyat mereka terus dipertahankan.
Beliau turut memuji peranan dimainkan Malaysia dan pemimpin dunia lain antaranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Kementerian Luar China yang memainkan peranan konstruktif demi merealisasikan gencatan senjata antara Kemboja dengan Thailand.

Media sebelum ini melaporkan tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis lepas di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari mengenai pihak yang dianggap sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
