PM Anwar Ucap Takziah Pemergian Tokoh Sejarah Ahmat Adam

Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada allahyarham Ahmat yang diadakan sekitar Februari tahun lalu. Foto X Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga tokoh sarjana sejarah tempatan Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam yang kembali ke rahmatullah petang tadi.
Menurut hantaran di media sosial malam ini, Perdana Menteri menyifatkan negara telah kehilangan seorang sarjana besar yang sepanjang hayatnya menegakkan keteguhan ilmu dan menumpahkan seluruh bakti dalam memperkasa jati diri bangsa melalui sejarah.
“Mendoakan keluarganya diberi ketabahan serta kecekalan yang tinggi serta dikurniakan rahmat ke atas rohnya, dan ditempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham Ahmat merupakan Profesor Emeritus dalam bidang ilmu sejarah, yang mula bergiat menulis sejak 1970-an.
Terdahulu menerusi satu hantaran di media sosial pada 8 Februari tahun lalu, Anwar menggelarkan allahyarham sebagai sahabat lama beliau dan sempat menuntut ilmu bersama ketika berada di Universiti Malaya (UM).
“Di akhir pertemuan, Prof Ahmat hadiahkan dua karya berjudul ‘Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa Yang Dibaca Selama ini?’ dan ‘Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia’,” katanya dalam catatan terbaharunya dalam Facebook ketika itu.

Ahmat merupakan Profesor Emeritus disegani kerana kerap menerbitkan kajian ilmiah yang memberi manfaat kepada masyarakat semasa berkhidmat di UM dan selepas persaraannya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
