PM Anwar Tunai Solat Jumaat Bersama 1,000 Jemaah Di Kuching

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah, Timbalan Perdana Menteri dan pimpinan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Darul Hana, Kuching pada 12 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUCHING, 12 Sep – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Hana, Petra Jaya, di sini, diiringi pimpinan tertinggi kerajaan negeri bersama lebih 1,000 jemaah.
Mengiringi Perdana Menteri termasuk Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut menunaikan solat bersama.

Anwar juga menikmati hidangan tengah hari bersama-sama pimpinan serta pengurusan masjid serta menyantuni orang ramai yang mengambil kesempatan bersalaman dengan pemimpin tertinggi negara itu usai solat.
Terdahulu, Anwar merasmikan bangunan tambahan baharu X-FAB Sarawak, peneraju global dalam pembuatan semikonduktor analog, campuran isyarat dan khusus bernilai RM3 bilion di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di sini.

Petang ini, beliau dijadual mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kompleks Satria Pertiwi, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 5.30 petang menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Sarawak bermula semalam di Limbang, di mana beliau merasmikan fasa kedua Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR 2) yang menelan kos RM7.6 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

Beliau turut menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak dan Majlis Makan Malam bersama komuniti setempat di sebuah hotel di sini malam tadi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
