PM Anwar Tunai Janji Balas Surat Adik Nanang Di Kudat

Adik Nanang menunjukkan buku pemberian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima surat pada 9 Mei 2026. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janjinya untuk membalas surat seorang kanak-kanak dikenali sebagai Nanang dari Pulau Banggi, Sabah dengan mengutuskan pasukannya bertemu sendiri keluarga berkenaan.

Menurut Anwar, surat kecil yang ditulis kanak-kanak itu membawa makna besar kerana tersimpan harapan, keikhlasan serta impian seorang anak kecil terhadap masa depan melalui pendidikan.

“Saya berjanji untuk membalas surat adik Nanang dari Pulau Banggi tempoh hari dan hari ini pasukan saya telah mengunjungi beliau serta keluarganya bagi menyampaikan sendiri surat yang saya janjikan.

Adik Nanang ceria menerima buku daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerahkan surat terus pada lawatan ke Kudat pada 9 Mei 2026. Foto PMO

“Sepucuk surat kecil, namun cukup besar maknanya kerana di sebalik tulisan itu tersimpan harapan, keikhlasan dan impian seorang anak kecil tentang masa depan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Tambah beliau, kisah seperti itu menjadi peringatan bahawa anak-anak di pelosok negara tetap menyimpan cita-cita besar untuk mengubah kehidupan menerusi ilmu dan pendidikan.

Dalam pada itu, Anwar turut menitipkan pesanan supaya Nanang terus mencintai ilmu, menjaga solat, menghormati ibu bapa dan tidak berhenti belajar walau dalam apa jua keadaan.

Nanang ceria bersama sumbangan yang diterima daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tular memberikan surat kepada Perdana Menteri semasa lawatan ke Kudat pada 9 Mei 2026. Foto PMO

Beliau turut menghadiahkan dua buah buku kepada kanak-kanak berkenaan sebagai galakan untuk terus membaca, berfikir dan membina impian demi keluarga, agama dan negara.

“Insya-Allah, masa depan Malaysia akan terus bercahaya selagi masih ada anak-anak seperti Nanang yang lembut hatinya, tekun menuntut ilmu dan menyimpan harapan besar untuk hari esok,” ujarnya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *