GSF: 12 Kapal Dipintas, Lapan Rakyat Malaysia Ditahan

Mereka ialah Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai ZRA Strim yang berada di atas kapal Amand, Muhamad Muhsin Zaidi menaiki kapal Isobella manakala Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman di kapal Josef/Yusuf.
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Lapan rakyat Malaysia dilaporkan ditahan rejim Israel selepas beberapa kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) dipintas di Laut Mediterranean ketika dalam pelayaran menuju Gaza.
Terbaharu, tiga lagi rakyat Malaysia dikenal pasti berada di atas kapal Amanda, Isobella dan Josef/Yusuf yang turut ditahan pihak Israel.
Mereka ialah Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai ZRA Strim yang berada di atas kapal Amand, Muhamad Muhsin Zaidi menaiki kapal Isobella manakala Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman di kapal Josef/Yusuf.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini pernah ditahan pada 30 April lalu, namun kembali menyertai misi kemanusiaan tersebut dan tekad meneruskan pelayaran ke Gaza semula selepas tempoh 18 hari.
Sebelum ini, lima rakyat Malaysia dilaporkan berada di atas dua bot yang dipintas iaitu Cactus dan Furleto.
Dua rakyat Malaysia di atas bot Cactus ialah Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari.
Sementara itu, tiga lagi rakyat Malaysia di atas bot Furleto dikenal pasti sebagai Patmanathan Sivasamy, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Syakirin Muhamed Senin.

Dalam perkembangan sama, jumlah keseluruhan kapal yang dilaporkan ditahan setakat ini meningkat kepada 11 buah termasuk dua kapal milik Freedom Flotilla Coalition (FFC) iaitu Kyriakos X dan Tenaz.
Bagaimanapun, difahamkan sebanyak 45 lagi kapal GSF masih aktif meneruskan pelayaran menuju Gaza meskipun berdepan ancaman keselamatan dan risiko serangan.
Sementara itu, Global Sumud Flotilla dalam kenyataan berkata kapal perang tentera laut Israel kini sedang mengepung dan memintas kapal-kapal awam mereka di perairan antarabangsa kira-kira 250 batu nautika dari pesisir Gaza.

Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut disifatkan sebagai satu lagi sekatan haram di laut lepas selepas 54 kapal awam berlepas dari Marmaris empat hari lalu bagi mewujudkan koridor kemanusiaan ke Gaza.
“Misi ini terdiri daripada doktor, wartawan dan petugas kemanusiaan yang tidak bersenjata.
“Sebarang keganasan terhadap kapal-kapal ini merupakan tanggungjawab undang-undang sepenuhnya di bawah rejim Israel serta pihak yang membenarkannya berlaku,” menurut kenyataan itu.
GSF turut mendakwa tindakan pemintasan terbaharu itu merupakan kesinambungan kepada insiden terdahulu di luar pesisir Crete apabila 181 aktivis hak asasi manusia daripada 21 kapal awam didakwa ditahan tentera Israel.
Menurut mereka, peserta misi sebelum ini turut mengalami penahanan, keganasan fizikal dan seksual selain mendakwa tindakan tersebut melanggar undang-undang maritim antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).
Dalam masa sama, GSF mendakwa Global Sumud Land Convoy yang membawa lebih 30 kenderaan termasuk ambulans dan rumah bergerak turut dihalang berhampiran Sirte, Libya ketika dalam perjalanan menuju Rafah.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

