PM Anwar Terharu Rakyat Berbilang Bangsa Berhimpun Dalam Satu Majlis

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada pelancaran Cerita Malaysia Kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Surf Beach, Sunway Lagoon, Subang Jaya pada 30 Januari 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 31 Jan – Melihat kebersamaan rakyat Malaysia yang rencam kaum dan budaya berkumpul dalam penganjuran Cerita Malaysia Kita di Subang Jaya, malam tadi, melahirkan rasa terharu dalam jiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, acara itu yang diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) adalah satu wahana penting yang menzahirkan budaya, keindahan alam serta kekayaan warisan sejarah yang menjadi lambang kemegahan dan identiti nasional.

Menurut Anwar, beliau menyifatkan penganjuran acara berkenaan mengingatkan semua pihak bahawa kekuatan terbesar negara tercinta ini terletak pada ciri perpaduan yang utuh.
“Malah, kita punyai potensi yang sangat besar untuk melonjak tatanan ini sebagai contoh kepada semua. Sementara petunjuk ekonomi memberi keyakinan bahawa Malaysia di jalur yang betul, kita mesti menginsafi betapa kemajuan tidak datang mudah.

“Walhasil, ia menuntut iltizam, kerjasama dan keyakinan bahawa kita tidak hanya mampu, tetapi wajib menjelmakannya dengan seluruh upaya kita,” ujarnya.
Elemen perpaduan rakyat berbilang kaum antara usaha penting mengangkat martabat negara dengan aspek pelancongan akan terus menjadi nadi pertumbuhan utama ekonomi.

Pada masa sama, beliau juga mahu rakyat Malaysia menunjukkan sikap dan budaya kerja penuh etika.
“Senyuman kita, sikap serta etika kerja dan khidmat mesti mencerminkan wajah negara di mata dunia.

“Lantaran itu, mesti ditekankan bahawa kita hanya mampu melonjak ke depan sekiranya semua diberi serta memainkan peranan, malah didukung dan dilindungi juga kerana Malaysia mesti gagah melangkah ke hadapan secara bersama dan berpadu,” katanya.
Pelbagai acara kebudayaan dan persembahan nyanyian daripada Ella dan Ernie Zakri turut memeriahkan majlis yang dihadiri ribuan pengunjung dalam dan luar negara mencerminkan keharmonian kaum terus mekar di negara ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
