Perpecahan Berisiko, PN Semakin Hilang Keyakinan Rakyat

Perbalahan dan situasi kucar-kacir itulah menyebabkan timbul kesangsian kalangan orang ramai bagaimana untuk Perikatan Nasional tubuh kerajaan, mentadbir dan menguruskan negara sedang perpaduan semasa sendiri pun kucar lanar dan hancur.

PENDAPAT, 31 Jan – Masa ini, serba tak kena dibuatnya bagi Perikatan Nasional (PN) yang terus berdepan bukan setakat krisis dalaman antara Pas dan Bersatu tetapi defisit keyakinan malah kesabaran rakyat yang semakin lama semakin menipis.

Malah, tidak keterlaluan dikatakan, PN dilihat semakin tidak keruan dan semakin hilang arah tujuan semata-mata dek pergolakan yang memperlihatkan kegagalan komunikasi dalaman serius antara parti-parti komponen dalam gabungan itu.

Serangan secara terbuka di media sosial sudah menjadi buah mulut rakyat di kedai kopi, media sosial malah juga berjangkit ke dalam ‘grup WhatsApp’ kampung apabila satu demi satu pekung terbuka tanpa disedari atau sebaliknya.

Dengan Mahathir masih belum pulih daripada kecederaan, Perikatan Nasional (PN) tidak dapat berupaya bersatu padu di bawah satu kepimpinan bersama sama ada Muhyiddin mahupun Abdul Hadi.

Menurut penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, situasi itu secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti pembangkang sebagai alternatif kerajaan sekiranya pertikaian awam berterusan dan tiada konsensus dicapai.

Namun menurutnya, perpecahan tidak semestinya berlaku jika Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengutamakan muafakat serta menghormati keputusan rakan gabungan.

“PN perlu segera kembali kepada meja rundingan dengan sikap saling menghormati, bukan melalui cadangan sepihak atau notis mesyuarat yang tidak melibatkan semua pihak.

“Gabungan ini mesti ingat bahawa rakyat menaruh harapan kepada mereka sebagai pembangkang yang kuat dan jika terus bertelagah sesama sendiri, bukan sahaja kredibiliti PN akan terjejas, malah peluang dalam Pilihan Raya Umum 16 (PRU16) turut terancam,” katanya kepada sebuah portal pada Khamis.

Dalam pada itu Muhammad Afifi berpandangan, situasi yang berlaku ketika ini menyebabkan PN berada dalam keadaan tidak menentu susulan pertelingkahan terbuka membabitkan isu kepimpinan dan struktur gabungan.

“Seperti dibimbangkan (Timbalan Presiden Pas), Tuan Ibrahim, keadaan ini buka ruang kepada Pakatan Harapan – Barisan Nasional untuk memecahbelahkan PN,” ujarnya.

“Keyakinan kepada PN seperti hujan di tengah hari, bersifat sementara, malahan kian pudar dan meleset kini apabila berlaku pergolakan hangit dalam PN yang tidak kunjung padam, dan sukar untuk dilengsaikan hingga saat rencana ini ditulis.

“Perselehengan” Pas-Bersatu mengenai isu pelantikan pengerusi PN menjadi appetizers dan keyakinan umum kepada PN semakin tawar “lembal”. Bersatu dan Pas masih belum jumpa jalan keluar untuk mengatasi perebutan itu, masing-masing mengklaim mereka lebih berhak. Beberapa perjumpaan diadakan, gagal mendapat persetujuan, bahkan ia menjadi kian memborak.

“Krisis yang berlaku dalam PN bukan sahaja terbatas dalam gabungan itu, tetapi ikut terheret ke dalam parti Pas dan Bersatu. Dalam Pas wujud dua kumpulan bertentangan pendapat antara satu sama lain, satu kabilah Mursyidul Am dan satu lagi kabilah harki Presiden. Walaupun lautan Pas nampak tenang tetapi di bawah, ia berkucah sakang.

“Begitu juga dalam Bersatu, wujud dua kumpulan, satu kumpulan mahukan Mahiaddin kekal sebagai presiden Bersatu sekumpulan lagi yang mahu Mahiaddin digantikan dengan Hamzah Zainuddin. Pertembungan dua puak ini menjadikan bahtera Bersatu terhuyung hayang.

“Ekoran perbalahan dan situasi itulah menyebakan timbul kesangsian kalangan orang ramai bagaimana untuk PN tubuh kerajaan, mentadbir dan menguruskan negara sedang perpaduan semasa sendiri pun kucar lanar dan hancur. Belum menang besar sudah berlaku perebutan jawatan jadi ketua, bagaimana kalau sudah diberikan kuasa? Perkara ini menjadi stigma dan phobia kepada rakyat umum,” ujar penulis blog Mohd Sayuti Omar.

Jujur dikatakan, pergeseran antara Muhyiddin dan Abdul Hadi sebenarnya secara tidak sedar berpunca daripada doa ‘Qunut Nazilah’ yang dibacakan beberapa kali kononnya PN dizalimi sedangkan rakyat tidak pula merasai ditindas secara kehidupan harian.

Apakah ahli parlimen yang membaca doa Qunut Nazilah, mampu pula membaca ‘talkin’ menandakan berkuburnya Perikatan Nasional tanpa pasti siapakah yang dikuburkannya?

Kesilapan PN ialah ‘doa’ yang ditujukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan, seakan berpatah balik kepada Pas dan Bersatu apabila mereka pula yang makin berantakan sejak krisis Perlis melarat hingga kepada peletakan jawatan Muhyiddin dalam PN.

Difahamkan pemukiman pemimpin tertinggi Pas di Bangi bermula semalam juga hangat membicarakan langkah ‘strategik’ sama ada PN masih lagi relevan atau tidak lagi menguntungkan buat Pas untuk terus bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-16.

Ayuh kita saksikan ‘drama’ politik selepas mesyuarat PN yang dibatalkan pada Khamis ekoran ketiadaan Abdul Hadi, bakal memasuki babak baharu yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata menuju perpecahan dahsyat tanpa dapat dipulihkan kembali.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *