PM Anwar Sokong Isu Sempadan Thailand-Kemboja Diselesai Secara Diplomatik

Perbualan telefon secara langsung antara Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Jun 2025. Foto X Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 6 Jun – Sebarang rundingan secara diplomatik antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu sempadan antara kedua-dua negara jiran berkenaan, mendapat sokongan penuh Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sokongan itu dizahirkan Perdana Menteri ketika berhubung secara langsung dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bagi menyampaikan penghargaan atas komitmen kedua-dua pemimpin dalam menyelesaikan pertikaian berkenaan melalui rundingan dan saluran diplomatik.
Difahamkan isu berkenaan tercetus susulan tindakan ketenteraan yang dilakukan kedua-dua pihak pada 28 Mei lalu di kawasan sempadan antara wilayah Preah Vihear di Kemboja dan wilayah Ubon Ratchathani di Thailand.

“Malaysia amat menghargai hubungan baik bersama kedua-dua negara. Sehubungan itu, saya meminta Thailand dan Kemboja terus mengamalkan sikap berhemah, mengambil langkah-langkah untuk meredakan ketegangan serta berusaha ke arah penyelesaian secara aman dan menyeluruh terkait situasi ini.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya yakin semangat kerjasama serantau dan prinsip ASEAN mengenai penyelesaian secara aman dapat menjadi landasan kukuh dalam menangani sebarang pertikaian,” katanya.
Terdahulu ketika selesai menunaikan solat Jumaat di sini, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan beliau akan menghubungi Paetongtarn dan memberi perkembangan terkini rundingan isu berkenaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
