Pakistan Hargai Peranan PM Anwar Usahakan Perdamaian

Perbualan telefon antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima panggilan daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang sedang menunaikan haji di Makkah pada 6 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 6 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Pakistan dan India dapat mencapai penyelesaian damai serta tuntas demi menjamin kestabilan dan keamanan di Asia Selatan yang berpanjangan.

Hasrat itu disampaikan Perdana Menteri kepada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif ketika beliau menerima panggilan telefon daripada pemimpin nombor satu negara itu yang sedang menunaikan ibadah haji di kota suci Makkah, Arab Saudi.

“Saya mendoakan beliau dikurniakan haji mabrur serta mengucapkan Eid Mubarak (Selamat Hari Raya Aidiladha) kepada seluruh rakyat Pakistan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang sedang menunaikan haji di Makkah, berkesempatan menelefon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seraya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1446 Hijrah. Foto Facebook Mian Shehbaz Sharif

Menerusi perbualan itu juga, Anwar berharap lawatan rasmi Shehbaz ke Malaysia yang tertangguh pada Mei lalu, boleh dijadualkan semula apabila situasi semasa di Pakistan mulai tenang.

“Malaysia menantikan peluang untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala yang strategik, saling menghormati dan membawa manfaat bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menghargai ucapan tahniah yang disampaikan oleh Shehbaz atas kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *