PM Anwar Setuju 21 Anak Mangsa Nahas Helikopter Terima SSPN-i, Yuran IPTA Dikecualikan

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menunaikan solat jenazah buat lapan mangsa nahas helikopter di Surau Kem 23 RAMD Ipoh. Foto Facebook Zambry Abd. Kadir
SITIAWAN, 24 Apr – Kementerian Pengajian Tinggi mengecualikan pembayaran yuran pengajian anak mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam, sehingga tamat belajar.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, cadangan itu juga sudah sudah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, pengecualian itu akan membabitkan yuran pengajian anak perempuan sulung Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi yang juga penuntut tahun pertama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Nurul Shahfiqah, 21.
“Ini anak yang belajar di universiti awam dan setakat ini kita mendapat maklumat, yang hanya seorang anak (iaitu anak Mohd Shahrizan) belajar di UMK.

“Bagaimanapun kalau ada anak (mangsa lain) yang sedang belajar (di IPT) boleh maklumkan dan kita akan melaksanakan dasar sama,” katanya selepas melawat keluarga Mohd Shahrizan di Taman Bunga Tanjong, di sini, malam ini.
Katanya, selain itu pihaknya juga akan menyalurkan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM1,000 kepada 21 anak mangsa nahas yang dikenal pasti masih bersekolah.
“Kemudian kita akan mendapatkan maklum balas kerajaan untuk langkah seterusnya (berkaitan tabung SSPN-i) daripada segi tabung berkenaan (untuk) belajar ke peringkat tinggi. Anak masih bersekolah mereka tentu memerlukan tabungan untuk masa depan.

“Saya juga percaya Kerajaan termasuk Kementerian Pertahanan mungkin ada perancangan (untuk membantu anak mangsa nahas) jadi tabung ini memudahkan pihak berkenaan membantu anak terbabit,” katanya.
Zambry berkata, semua usaha itu untuk memastikan supaya anak mangsa dapat meneruskan pengajian dan pihaknya tidak mahu mereka berdepan kesulitan untuk menyambung pengajian.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
