KWSP Alami Penstrukturan Semula Mulai 11 Mei

Fokus utama inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan.

KUALA LUMPUR, 25 Apr – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 dengan semua akaun KWSP ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan; Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan dan Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut: 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

Fokus utama inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata fokus utama inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP itu adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan masa depan untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *