Pang Sock Tao Sah Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK KKB

Biodata calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao yang disiarkan sejurus selepas pengumuman calon sebentar tadi. Foto Facebook DAP Malaysia

KUALA KUBU BAHARU, 24 Apr – Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada malam Majlis Pengumuman Calon Kerajaan Perpaduan MADANI yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Baharu di sini sebentar tadi.

Loke berkata, calon tersebut dipilih kerana mampu menarik lebih ramai pengundi muda di kawasan itu.

Menurutnya, golongan belia mampu membawa perubahan yang progresif bagi meraih kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan.

Wanita berusia 31 tahun dari Ampang, Selangor, itu pernah bertugas penyampai berita untuk Ubah TV, saluran video di aplikasi YouTube milik DAP.

Turut hadir, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.

Biodata calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao yang disiarkan sejurus selepas pengumuman calon sebentar tadi. Foto Facebook DAP Malaysia

Sebelum ini, nama-nama lain dispekulasikan termasuk Mandeep Singh, setiausaha politik kepada Gobind, ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Saripah Bakar dan ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Alice Choo Foong Thye.

Terdahulu majlis pengumuman calon malam ini dimulakan dengan bertafakur bagi memberi penghormatan kepada 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak semalam.

Hampir seribu hadirin terdiri daripada pelbagai kaum dilihat bertafakur selama seminit mengikut kepercayaan masing-masing bagi mengenang jasa dan pengorbanan wira negara mempertahankan tanah air tercinta.

Petang tadi, MIC memutuskan untuk berkempen bagi calon Kerajaan Perpaduan setelah menerima jaminan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyegerakan penyelesaian bagi kaum India.

Dalam pada itu, mengakui setiap pilihan raya mempunyai risiko dan cabaran tersendiri, Pengarah Pilihan Raya PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Ng Sze Han yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor berkata, pemilihan calon yang betul akan memudahkan gerak kerja kempen dalam usaha mengekalkan pencapaian cemerlang PH, khususnya DAP, di kerusi itu.

Pang Sock Tao (tengah) bersama Anthony Loke dan Amirudin pada majlis pengumuman calon Kerajaan Perpaduan di Kuala Kubu Baharu sebentar tadi.

“PRK ini bukan kempen DAP dan PH sahaja tetapi ia adalah pilihan raya yang menyaksikan kita berkempen atas nama Kerajaan Perpaduan yang turut didukung UMNO… dengan gabungan kekuatan serta pengalaman yang dimiliki, kita yakin akan mendapat sokongan daripada penduduk dan juga pengundi,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat barah tahap empat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu adalah PRK ketujuh selepas PRU15 dengan enam daripadanya dilaksanakan tahun lepas iaitu Parlimen Kuala Terengganu (Ogos), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (September), DUN Pelangai (Oktober), DUN Jepak (November) dan Parlimen Kemaman (Disember).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *