PM Anwar Sembah Tahniah Sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong

Poster ucapan tahniah PM Anwar yang disiarkan di semua platform media sosial. Foto Facebook Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Kerajaan Perpaduan merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, esok.
Perdana Menteri turut mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Seri Paduka; Raja Permaisuri Agung, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat serta hidayah dan berada dalam keadaan sihat, sejahtera serta penuh kedaulatan.
”Patik bagi pihak Kerajaan Perpaduan mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Semoga baginda kekal qarar memerintah dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara.
“Seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara yang tercinta,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan, malam ini.
Anwar juga menegaskan, beliau dan seluruh rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan.
“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan.
Dirgahayu Tuanku,” ujarnya.
