Nik Aziz, Kit Siang Terima Darjah Tan Sri

Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz (kanan) dan Kit Siang dianugerahi darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri. Foto Roketkini.
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Bekas Menteri Besar Kelantan yang juga bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara 839 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Selain itu, veteran DAP, Lim Kit Siang turut dianugerahkan darjah kebesaran sama.
Nik Aziz dan Lim dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM), anugerah persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran “Tan Sri”. Mereka adalah antara 26 individu yang menerima anugerah itu tahun ini.
Penerima lain termasuk Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan dua bekas menteri persekutuan Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Anifah Aman.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan Maxim Global Berhad Datuk Seri Gan Seong Liam, Pengerusi DPS Resources Berhad Datuk Seri Sow Chin Chuan, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad Datuk Seri Dr Nik Norzul Thani N.Hassan Thani dan komposer Datuk Seri Dr Ahmad Khan Nawab Khan.
Turut menerima PSM ialah Pengerusi Eksekutif Yuwang Group See Hong Cheen @ See Hong Chen, Pengerusi Battersea Power Station Holding Company Limited Datuk Jaganath Derek Steven Sabapathy, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed A.R. Albar dan Pengerusi/ Pengarah Perusahaan Sadur Timah Malaysia (PERSTIMA) Berhad Datuk Wee Hoe Soon @ Gooi Hoe Soon.
Penerima lain ialah Pengarah Urusan Winfast Group of Companies Datuk Seri Chee Chan Yau @ Cheah Chan Yau, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ming Heng Motor Sdn Bhd Datuk Koh Chui Ming, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Pengarah Urusan Cergas Murni Sdn Bhd Datuk Paul Latimer.
Selain itu Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad Datuk Seri Yeoh Choon San, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KK Land Group of Companies Datuk Kong Hoi Chieng, Pengarah Urusan Twin Arrow Fertilizer Sdn Bhd Datuk Seri Lau Kuan Kam, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.
