PM Anwar Sahkan Tiada Pertukaran Tampuk Kepimpinan Negeri Sembilan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, Rawang pada 1 Mei 2026.
RAWANG, 1 Mei – Tiada sebarang pertukaran tampuk pimpinan kerajaan Negeri Sembilan dilaksanakan setakat ini.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Datuk Seri Aminuddin Harun akan terus menjalankan tugas mentadbir Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar, selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sebarang isu yang timbul harus diselesaikan mengikut Perlembagaan Negeri.

“Keadaan di Negeri Sembilan biarlah bertenang dahulu. Seperti yang kita dah tahu, ada isu yang harus dileraikan ikut perlembagaan negeri.
“Sementara itu, tentunya kita ikut titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan supaya Menteri Besar teruskan tugas mentadbir negeri dalam keadaan ekonomi begini,” katanya.
Anwar diminta mengulas perkara itu selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, di sini, tengah hari tadi.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan pentadbiran negeri tidak terjejas, agar usaha memulihkan ekonomi serta kepentingan rakyat tidak diganggu gugat.
“Tumpu itu lah. Nak rebut apa lagi, tunggulah sekejap. Jadi sebab itu kita dah nasihat, dan saya dah sampaikan kepada kawan-kawan dalam PH dan UMNO. Kita runding.
“Tapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat. Itu yang penting,” katanya.

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan negeri bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
