PM Anwar Jamin Harga Petrol Kekal RM1.99 Seliter

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sambutan Hari Pekerja 2026 yang berlangsung di UNIFI Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Foto JPN
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan walaupun berlaku peningkatan harga minyak di peringkat global, harga petrol di negara ini kekal rendah pada kadar RM1.99 seliter.
Walaupun banyak negara pengeluar minyak utama dunia menaikkan harga bahan api, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun jelas Perdana Menteri, Malaysia masih mengekalkan antara harga terendah di dunia selain Brunei dan Rusia.
Harga minyak mentah Brent ketika ini meningkat daripada sekitar AS$70 setong pada Februari kepada lebih AS$115 dengan Amerika Syarikat (AS) kini menaikkan harga petrol hingga AS$7 segelen (3.78 liter).

Dengan kira-kira 50 peratus keperluan minyak domestik diimport bagi memenuhi keperluan ketika ini, kerajaan tetap bertegas mengekalkan harga semasa demi menjaga kebajikan rakyat.
“Ramai pakar ekonomi mencadangkan supaya harga minyak dinaikkan demi kestabilan ekonomi negara, namun saya berpendapat langkah itu perlu mengambil kira nasib golongan pekerja, khususnya berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2026 bertemakan “Pekerja MADANI Kesuma Negara”, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan komited memastikan keseimbangan antara kepentingan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, walaupun perlu mengambil beberapa langkah tambahan bagi menampung tekanan semasa.
“Harga minyak kekal RM1.99. Kita akan terus berbincang dan meneliti langkah terbaik bersama KESUMA dan kementerian berkaitan,” jelasnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
