Sanggup Redah Ladang Sawit, Lombong Bijih Besi Buru PATI

Daripada 15 orang yang ditahan, sembilan adalah warga Bangladesh manakala enam lagi warga Indonesia, berusia antara 24 hingga 51 tahun. Foto hiasan

KEMAMAN, 1 Mei – Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu di beberapa lokasi di sebuah ladang di Ketengah Jaya, Seri Bandi, di sini, awal pagi tadi.

‎Pengarah Imigresen negeri, Mohd Yusri Mohd Nor, berkata dalam operasi dikenali sebagai Ops Sapu dan Ops Hijau itu, sebanyak tiga premis membabitkan rumah penempatan pekerja diperiksa.

‎Katanya, dalam operasi berakhir jam 6 pagi, pihaknya memeriksa seramai 53 warga asing dan daripada jumlah itu seramai 15 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

‎”Daripada 15 orang yang ditahan, sembilan adalah warga Bangladesh manakala enam lagi warga Indonesia, berusia antara 24 hingga 51 tahun.

‎”Lapan daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah, tiga orang tinggal lebih masa ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan tiga ditahan kerana salah guna pas disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

‎Mohd Yusri yang mengetuai operasi itu berkata, pihaknya terpaksa berdepan pelbagai rintangan sebelum berjaya membuat serbuan di ladang berkenaan antaranya meredah laluan ladang sawit selain terpaksa berjalan kaki lebih dua kilometer ke lokasi serbuan bagi mengelak kehadiran mereka disedari.

‎Di lokasi pertama, sebuah rumah pekerja berhampiran Bandar Seri Bandi, seramai 20 lelaki warga Indonesia diperiksa dengan tiga daripadanya ditahan.

‎Pemeriksaan di lokasi kedua di sekitar kawasan lombong biji besi, pemeriksaan membawa kepada 10 tangkapan membabitkan warga Bangladesh dan Indonesia.

‎”Serbuan di kawasan ini (lombong biji besi) kita percaya beberapa berjaya melarikan diri memandangkan ketika serbuan jam 3 pagi, ada pekerja masih lagi bekerja memandang beberapa enjin digunakan untuk tujuan perlombongan masih hidup.

‎”Kawasan berkenaan juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pondok pintu masuk yang turut dipasang palang besi dan berkunci,” katanya.

‎Sementara itu, katanya, di lokasi ketiga di penempatan pekerja Sungai Pelanduk, dua lagi lelaki warga Indonesia ditahan selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *