‘Aduh! Gagal Lagi Man United Menang Piala’ – PM Anwar ‘Berleter’ Di Media Sosial

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar kenangan bersama penyokong Manchester United pada aksi menentang ASEAN All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Mei – “Aduh! Gagal lagi Man United menang piala. Pening kepala juga hangpa (Manchester United) musim depan. Harap tak turun Championship (Liga Kejuaraan)”.

Itulah ‘leteran’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencuri tumpuan warganet apabila memuat naik hantaran dengan selamba menyentuh kekalahan kelab yang disokongnya sejak sekian lama itu kepada ASEAN All Stars bagi merebut Piala Cabaran Maybank 2025 di Stadium Nasional di sini pada Rabu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemain ASEAN All Stars yang menewaskan Manchester United 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya, Anwar mengulas prestasi United yang terumbang-ambing dalam Liga Perdana Inggeris (PL) hinggakan risau sekiranya The Red Devils terpaksa turun ke Liga Kejuaraan musim depan pula.

Walaupun turun dengan barisan terkuat seperti Harry Maguire selaku kapten dan penyerang sensasi Bruno Fernandes, United gagal memecah kebuntuan pada separuh masa hingga tersentak dengan jaringan penyerang Myanmar mewakili ASEAN All Stars pada minit ke-71.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersorak dengan Hannah Yeoh ketika menyaksikan aksi pemain ASEAN All Stars yang menewaskan Manchester United 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Meskipun United tewas, Anwar tetap mengabadikan kenangan dengan memuat naik beberapa foto bersama para pemain dan penyokong kedua-dua pasukan selain menyerahkan piala kejuaraan dan hadiah iringan disaksikan lebih 75,000 penonton itu.

United kendalian Ruben Amorim hanya menduduki tangga ke-15 dengan Liverpool selaku juara liga kini menyamakan jumlah kejuaraan kepada 20 kali.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersorak menyaksikan aksi antara ASEAN All Stars yang menewaskan Manchester United 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Hanya tiga pasukan terbawah di PL turun ke liga kejuaraan dan tiga pasukan akan dinaikkan mengikut sistem liga di England.

Melihat komen-komen warganet di Facebook Perdana Menteri juga mencuit hati.

“Peminat Manchester United di Kuala Lumpur amat bertuah dapat melihat pasukan kesayangan mereka ditewaskan secara langsung! . Sebelum ini hanya melihatnya di kaca televisyen,” tulis Romulad Romly.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *