PM Anwar Mahu Hari Kebangsaan 2024 Dimanfaat Tingkat Perpaduan Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sambutan Hari Kebangsaan 2024 dimanfaatkan sebagai permulaan untuk semua rakyat berpaut antara satu sama lain demi memartabatkan Malaysia menjadi negara yang hebat.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sebagai negara yang merdeka memiliki potensi yang hebat dan perkara itu mampu direalisasikan jika semua rakyatnya berpakat dan bersatu.

“Apa kurangnya di negara kita, kesedaran, pencerahan, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan harus diperbaiki untuk yang paling kaya kepada paling miskin.

“Jadi jangan pinggirkan sesiapa kerana semangat perpaduan sangat penting dan tidak boleh diremehkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Tetamu mendengar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Perdana sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama

Anwar berkata, perpaduan amat penting dan tidak boleh diremehkan kerana dengan semangat itu mampu mengangkat darjat negara ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, Malaysia kini berada di landasan yang sangat baik dan mampu diangkat dengan lebih cemerlang.

“Kita beri nasihat, anjuran, desakan tapi saya nak guna kesempatan beri amaran bahawa negara ini di tapak landasan sangat baik.

“Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang bawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian permusuhan satu sama lain, saya tidak peduli media antarabangsa ke, tugas kita selamatkan negara Malaysia tercinta ini,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan ke-67 di PICC Jumaat ini. Foto Kementerian Komunikasi

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu budaya baharu dimulakan dengan menoktahkan amalan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan serta sikap khianat kepada negara.

Tegasnya, pimpinan negara harus lebih bertanggungjawab, tidak mengizinkan amalan merompak kekayaan negara dan menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.

“Apa erti kemerdekaan, setiap tahun ribuan anak beratur mengibarkan bendera keramat (Jalur Gemilang) menjerit ‘Merdeka’ tetapi jiwa dirasuk kerana kita mengizinkan dan sistem mengizinkan keterlanjuran yang berterusan.

“Kita belajar dari sejarah, buta sejarah, buta hati, buta perasan, buta ciri kemanusiaan akan menyebabkan negara ini menerima dendangan hasut, dengki, khianat, mengizinkan keterlanjuran rasuah dan penyelewengan, dan bila keadaan sampai ke tahap yang sudah parah dan rosak, tidak mungkin mudah diperbaiki lagi,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menggesa semua rakyat untuk menerima kenyataan bahawa kemerdekaan negara dicapai kerana kekuatan dan kesepaduan rakyat.

Walaupun berbeza pendapat dalam hal kecil, Perdana Menteri menegaskan, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberikan pembelaan yang secukupnya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *