PM Anwar Luncur Buku Ahli Akademik China Hasilkan Karya Kepelbagaian Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudi meluncurkan buku karya Dr Yan Lijin pada sela-sela lawatan kerja empat hari ke China di Beijing pada 2 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
BEIJING, 2 Sep – Meskipun berdepan jadual padat, lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China turut berkesempatan meluncurkan sebuah buku berkisar tentang keindahan dan kepelbagaian Malaysia daripada perspektif warganegara China.
Peluncuran buku bertajuk ‘Truly Asia: Malaysia — A Country You Won’t Want To Abandon’ (Sebenarnya Asia: Malaysia – Negara Yang Anda Tidak Boleh Abaikan) merupakan hasil karya ahli akademik dan ahli perniagaan China, Dr Yan Lijin, disempurnakan Anwar sambil disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Peluncuran buku berkenaan berlangsung usai pertemuan Anwar dengan syarikat gergasi logistik China, JD.com sempena lawatan kerja empat hari ke negara itu.
Menurut Anwar, karya Dr Yan berjaya menggambarkan kepelbagaian budaya, tradisi serta kemodenan Malaysia, selain menonjolkan keindahan alam semula jadi yang menjadi tarikan utama negara.
“Ia bernilai bukan sahaja untuk pelaburan, pendidikan dan eksplorasi budaya, tetapi juga untuk mengenali pesona Malaysia secara menyeluruh.

“Saya menghargai keikhlasan Dr Yan yang berusaha memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan China melalui buku ini, sebagaimana utuhnya persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara,” katanya di laman sosial Facebook.
Buku berkenaan mula dihasilkan berdasarkan pengalaman peribadi Dr Yan yang kerap melawat Malaysia menikmati keindahan alam, kepelbagaian biodiversiti serta memberi insiprasi kepada warganegara China bahawa Malaysia memiliki keistimewaan tersendiri berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara.
Keistimewaan inilah yang mendorong beliau menerbitkan karya dalam penghasilan buku yang memaparkan semangat dan budi pekerti rakyat Malaysia amat disenangi pelancong luar termasuk dari China selain Korea Selatan, Jepun dan Taiwan yang mula mengalihkan destinasi pelancongan ke negara kita.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
