Gergasi Logistik China, JD.com Mahu Beroperasi, Beli Barangan Malaysia – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat bersama Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA) selaku badan utama yang mewakili lebih 1,400 syarikat semikonduktor China di Beijing pada 2 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
BEIJING, 2 Sep – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China hari ini diteruskan dengan mengadakan pertemuan dengan gergasi e-dagang China, JD.com yang menzahirkan hasrat memperluas operasinya di Malaysia, khususnya dalam sektor logistik.
Perdana Menteri, berkata JD.com selaku pemain utama dalam sektor e-dagang dan logistik juga merancang untuk membeli lebih banyak produk Malaysia untuk dipasarkan di China.

“Saya menyambut baik keputusan ini, mengambil kira kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi menjadikan kita sebagai hab logistik serantau.
“Langkah ini sekali gus akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, JD.com turut mengumumkan rancangan untuk membeli lebih banyak produk Malaysia yang akan dipasarkan di China,” katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan beberapa siri pertemuan dengan peneraju industri China di Hotel China World Summit Wing di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan meluangkan masa selama kira-kira 30 minit bertemu Ketua Pegawai Eksekutif JD Logistics merangkap ahli Jawatankuasa Eksekutif Strategi syarikat itu, Hu Wei sebagai sebahagian daripada sesi libat urus bersama pemain industri global berpangkalan di negara itu.

Anwar turut mengadakan pertemuan bersama Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA) selaku badan utama yang mewakili lebih 1,400 syarikat semikonduktor di China bagi bertukar-tukar pandangan tentang ekosistem semikonduktor masa kini.
“Dalam pertemuan ini, saya menegaskan aspirasi Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam industri semikonduktor global seperti digariskan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS),” katanya.

Terdahulu pagi ini, Anwar mengadakan siri pertemuan dengan eksekutif tertinggi syarikat besar China sebagai sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke negara itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
