PM Anwar Lawat Timor-Leste Esok, Perkukuh Sokongan Sertai ASEAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Xanana Gusmao ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Timor-Leste itu di Putrajaya pada 3 Disember 2024. Foto Facebook Xanana Gusmao
KUALA LUMPUR, 22 Sep – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memainkan peranan penting dalam mengangkat aspirasi Timor-Leste untuk menyertai ASEAN, akan memulakan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu selama dua hari bermula esok (23 September).
Lawatan bersejarah ini merupakan kunjungan pertama seorang Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala serta menyokong kesediaan negara itu menjadi anggota ke-11 ASEAN.
Anwar dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato pada pukul 3 petang waktu tempatan esok dan akan disambut oleh Presiden Dr José Ramos-Horta serta Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão.

Mengiringi beliau ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, selain pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar Negeri.
Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh dalam sidang media bersama Bernama dan RTM berkata bahawa agenda rasmi Anwar akan dimulakan dengan istiadat sambutan negara di Istana Presiden, diikuti kunjungan hormat terhadap Presiden Ramos-Horta.
Pada sebelah malam, Anwar akan menghadiri jamuan rasmi yang dianjurkan bersama oleh Presiden dan Perdana Menteri Timor-Leste di Lahane Palace.
Keesokannya, beliau dijadual menyampaikan ucaptama di Parlimen Nasional, sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Gusmão di Istana Kerajaan. Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan mengadakan sidang media bersama.
Selain itu, Anwar akan menghadiri sesi ramah mesra bersama komuniti rakyat Malaysia dan alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), menyampaikan syarahan dalam siri Presidential Lecture di Istana Presiden serta melancarkan tapak projek Pusat Konvensyen Antarabangsa di Dili yang bakal dibangunkan.
Amarjit menyifatkan lawatan ini sebagai amat signifikan kerana bukan sahaja memperkukuh hubungan erat kedua-dua negara, tetapi juga menyerlahkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam merealisasikan penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam blok serantau itu.
“Malaysia konsisten menyokong Timor-Leste sejak sebelum kemerdekaannya pada 2002. Lawatan ini melambangkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk bersama keluarga ASEAN,” katanya.
Nilai dagangan dua hala Malaysia-Timor-Leste pada 2024 mencecah RM85 juta pada tahun lepas, dengan kira-kira 250 syarikat Malaysia beroperasi di negara itu dalam sektor perkhidmatan, pembinaan dan perdagangan.
Setakat ini, kira-kira 150 rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan profesional, usahawan dan pekerja mahir berdaftar di Kedutaan Malaysia di Dili.

Hubungan rakyat dengan rakyat turut diperkukuh melalui kemudahan perjalanan. Sejak 16 Ogos lepas, rakyat Malaysia menikmati kemudahan bebas visa ke Timor-Leste, sejajar dengan semangat integrasi ASEAN yang memudahkan pergerakan antara negara anggota.
Untuk rekod, Timor-Leste memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011. Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, para pemimpin bersetuju menerima negara itu sebagai anggota ke-11 blok berkenaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


