PM Anwar Kecam Insiden Cederakan OCPD, Perbuatan Keji, Mesti Dikecam

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden serangan menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera pada 11 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 11 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa segera menyiasat dan memberkas dalang serta penyerang yang bertanggungjawab mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, hari ini.
Menyifatkan perbuatan itu sebagai keji dan mesti dikecam, Perdana Menteri menegaskan kerajaan sentiasa menghormati hak untuk berhimpun secara aman serta menyatakan pendirian, dan ia dibuktikan dengan konsisten melalui pelbagai himpunan yang diadakan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya prinsip kebebasan juga menuntut semua pihak untuk bertanggungjawab dan patuh tunduk kepada hukum, adab serta undang-undang.

“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam, yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.
“Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalah guna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan rakyat.
“Keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Sulizme dilaporkan cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru di sini.
Ia susulan kekecohan akibat rempuhan penduduk yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.
Berdasarkan pemerhatian, Sulizme dilihat mengalami luka berdarah pada bahagian muka.
Terdahulu, operasi pengosongan bangunan kecoh seketika apabila penduduk mula mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk ke kawasan perumahan berkenaan.

Operasi berkenaan dilaporkan diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan, susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
