PM Anwar Jamin Eksport LNG Tak Terjejas, Keselamatan Dipertingkat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak di sebuah hotel di Kuching pada 11 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUCHING, 11 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan operasi eksport gas asli cecair (LNG) milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di Bintulu tidak terjejas meskipun terdapat isu keselamatan yang timbul pada 8 September lalu.
Menurut Perdana Menteri, setakat ini tiada penurunan dalam permintaan eksport LNG negara kerana langkah kawalan keselamatan telah dilaksanakan sepenuhnya di kawasan strategik berkenaan.

“Setakat ini tidak timbul isu penurunan permintaan eksport. Ia dipandang serius kerana kawasan itu sangat strategik dan berbahaya jika berlaku ancaman.
“Apabila terdapat ugutan, PETRONAS memaklumkan kepada saya dan kita telah mengerahkan pasukan polis serta keselamatan untuk mengawal keadaan sepenuhnya,” katanya selepas menghadiri Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak di sini hari ini.

Tambahnya, kawalan keselamatan di kemudahan berkenaan telah dipertingkatkan sejajar dengan pemakluman yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan difahamkan seluruh kemudahan PETRONAS di Kerteh, Terengganu telah berbuat perkara serupa.
Media pada Isnin melaporkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG milik PETRONAS mengetatkan kawalan keselamatan serta-merta, susulan ugutan diterima seorang pegawainya di Bintulu bagi membolehkan siasatan segera dilakukan.

Manakala pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Polis Republik Indonesia (POLRI) bagi mengesan pengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengugut pekerja PETRONAS untuk melakukan khianat terhadap loji berkenaan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
