Emir Qatar Jemput PM Anwar Hadiri Sidang Tergempar Ketua-Ketua Negara Islam

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak di sebuah hotel di Kuching pada 11 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUCHING, 11 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima undangan untuk menghadiri sidang tergempar bersama ketua-ketua negara Islam di Doha, Qatar pada Isnin ini.
Katanya, perjumpaan itu atas inisiatif Emir Qatar, Sheikh Tamim ibn Hamad Al Thani bagi membincangkan situasi terkini di Gaza, susulan serangan berterusan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

Ini merupakan jemputan terus Emir Qatar kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN 2025 sebagai salah sebuah negara penting dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) selain Arab Saudi, Iran, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye dan Jordan.
“Saya dapat pagi tadi undangan perjumpaan tergempar ketua-ketua negara Islam di Doha. Emir Qatar minta saya turut hadir.

“Jadi kalau jadual itu betul-betul 15 (September), maka kemungkinan besar saya akan cuba hadir, sebab 16 September itu Hari Malaysia. Saya terpaksa ada di sini,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, di sini, hari ini.
Pada pertemuan itu, Anwar yang juga Presiden KEADILAN memperincikan dasar dan polisi Kerajaan MADANI agar ia dapat difahami, dihayati dan dirasai oleh rakyat Sarawak melalui pimpinan negeri.

“KEADILAN bukan sekadar sebuah parti politik, ia merupakan wadah perjuangan rakyat yang sentiasa mendengar denyut nadi masyarakat, membela kepentingan mereka ke meja dasar demi kesejahteraan bersama.
“Keberadaan KEADILAN di Sarawak perlu terus dimantapkan agar parti ini benar-benar menjadi suara rakyat keseluruhan serta mampu mengangkat agenda perubahan yang inklusif,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
