PM Anwar Harap Sektor Swasta Turut Naikkan Gaji Pekerja Mereka

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu. Foto RTM
PUTRAJAYA, 1 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sektor swasta dapat mencontohi langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam seperti diumumkannya hari ini.
Perdana Menteri berkata, ada pihak swasta yang mencatatkan keuntungan berganda hasil daripada produktiviti dan pengorbanan pekerja mereka.
“Ini sebagai langkah permulaan, pihak swasta (diharap dapat) meningkatkan gaji pekerja mereka.

“Ada syarikat besar yang mencatat keuntungan berganda daripada produktiviti (pekerja). Apa salahnya kalau syarikat untung berjuta bagilah sedikit kepada pekerja,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Anwar hari ini mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji 15 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.
Perdana Menteri berkata, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan MADANI akan memastikan jumlahnya akan lebih tinggi daripada itu.
“Untuk tahun depan, bila kita mula laksanakan, ia akan mencecah lebih RM10 bilion, kerana jumlahnya agak besar dan kenaikannya agak lumayan.. dan ini adalah kenaikan paling baik dalam negara.
TERKINI: Gaji Penjawat Awam Naik 15 Peratus, Tertinggi Dalam Sejarah – PM Anwar
“Kita juga akan meneliti daripada segi kewangan dan bagaimana ia boleh menampung tetapi pada masa sama hutang negara tidak lebih (daripada sepatutnya,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
