PM Anwar Akan Kupas Pelbagai Inisiatif Dalam ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ Malam Ini

Sesi soal jawab bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program khas ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ akan disiarkan di semua stesen televisyen tempatan jam 9 malam ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengupas pelbagai isu dan inisiatif yang diambil kerajaan dalam program “Soal Jawab Perdana Menteri” yang akan disiarkan oleh semua stesen televisyen tempatan pada jam 9 malam ini.
Dalam temu bual khas sempena Hari Pekerja itu, Anwar turut memperjelaskan dengan lebih terperinci berkenaan kenaikan gaji lebih 13 peratus yang diumumkannya semasa menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 pagi tadi.
Anwar juga menjelaskan langkah diambil kerajaan dalam menangani kos sara hidup, termasuk pelbagai subsidi yang disediakan bagi membantu meringankan beban rakyat.

Di samping itu, Perdana Menteri juga akan menyatakan pendirian kerajaan dalam soal Palestin, serta penyertaan beliau di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi di mana beliau bertemu pemimpin dunia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan dengan panjang lebar usaha kerajaan pimpinan beliau dalam menarik pelaburan daripada luar negara.
Beliau juga mengambil kesempatan menjelaskan keadaan sebenar mengenai kritikan bahawa kerajaan tidak membantu masyarakat India.
Temu bual khas hampir sejam bersama Perdana Menteri Malaysia Ke-10 itu dikendalikan penyampai RTM Sayed Munawar Sayed Mustar, Pasha Abdul Rahim (Bernama TV), Muhammad Zulfitri Yusof (Awani) dan Azaria Tagaya (TV3).
Temu bual itu akan disiarkan melalui Bernama TV (Astro 502), RTM, Astro Awani, TV3 dan beberapa stesen lain pada pukul 9 malam ini. – BERNAMA
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
