PM Anwar Dukacita, Solidariti Terhadap Mangsa Banjir Di Bali

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan dukacita dan solidariti terhadap rakyat Bali, Indonesia pada 12 September 2025. Foto AFP
KUALA LUMPUR, 12 Sep – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan dukacita dan solidariti terhadap rakyat Bali, Indonesia, yang dilanda musibah banjir kilat sehingga meragut lebih 15 nyawa.
Perdana Menteri dalam hantaran melalui Facebook, hari ini, turut menghulurkan doa serta ingatan buat keluarga kehilangan insan tersayang dan semua mangsa yang terjejas dari segi kediaman serta mata pencarian akibat bencana itu.
“Saya amat sedih dengan kehilangan nyawa mangsa akibat banjir kilat yang melanda Bali. Doa serta ingatan saya bersama keluarga kehilangan insan tersayang, dan juga semua mereka yang terjejas dari segi kediaman serta mata pencarian.

“Dalam saat sukar ini, saya bersolidariti dengan Presiden, Prabowo Subianto, dan seluruh rakyat Indonesia.
“Malaysia turut bersedih bersama anda, dan akan terus menzahirkan solidariti kepada rakyat Bali dalam usaha pemulihan pascabencana ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan banjir kilat melanda dua pulau di Indonesia membabit Pulau Flores dan destinasi pelancongan popular Bali, selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Musim tengkujuh tahunan di Indonesia, lazimnya antara November hingga April, sering mengakibatkan kejadian tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air.
Perubahan iklim turut menjejaskan pola ribut, termasuk dari segi tempoh dan keterukan musim monsun, sekali gus menyaksikan badai hujan lebih lebat, banjir kilat serta angin lebih kencang.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

