Mangsa Banjir Di Sabah Meningkat

Mangsa banjir di Beaufort ditempatkan di PPS Selagon pada 10 September 2025. Foto APM Sabah
KOTA KINABALU, 12 Sep – Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 409 orang daripada 110 keluarga pagi ini, berbanding 154 orang daripada 54 keluarga malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 255 mangsa daripada 56 keluarga dipindahkan di Penampang, manakala 154 mangsa daripada 54 keluarga dipindahkan di Beaufort.
Di Penampang, pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Peter Mojuntin menempatkan 99 pelajar, Kompleks Sukan Penampang (95 mangsa, 44 keluarga), Dewan Huguan Siau (34 mangsa, 7 keluarga), dan Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis (27 mangsa, 5 keluarga).

Sementara itu, semua mangsa banjir di Beaufort dipindahkan ke pusat pemindahan kekal (PPK) di Selagon.
“Sebanyak 22 kampung terjejas akibat banjir dengan 14 kampung di Penampang dan lapan di Beaufort,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan memaklumkan, usaha mencari dan menyelamat lelaki warga emas berusia 97 tahun yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang malam tadi masih dijalankan.
“Pasukan bomba berdepan kesukaran ke tempat kejadian kerana laluan terhalang akibat banjir dan tanah runtuh, malah pasukan bomba terpaksa berjalan sejauh tiga kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Operasi mencari dan menyelamat perlu menggunakan jentera jengkaut dan dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia serta agensi lain dengan bantuan orang kampung.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
