PL: Misi Ubati Luka City, United

Manchester United menang 2-1 aksi pertembungan musuh tetangga Manchester di Stadium Etihad musim lalu menerusi gol lewat Amad Diallo. Foto Reuters
LONDON, 12 Sep – Manchester City berdepan misi mengelak kekalahan ketiga berturut-turut apabila menentang musuh tetangga, Manchester United hujung minggu ini ketika Liga Perdana Inggeris (PL) kembali bersambung sementara Alexander Isak pula dijangka membuat penampilan sulung bersama Liverpool.
Pengurus City, Pep Guardiola dan pengendali United, Ruben Amorim sama-sama berada di bawah tekanan walaupun saingan musim ini baru berlangsung tiga perlawanan, sedangkan juara bertahan Liverpool masih mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan.
Sementara itu, selepas rehat tugasan antarabangsa, Ange Postecoglou kembali bergelar jurulatih bersama Nottingham Forest, hanya tiga bulan selepas dipecat Tottenham.

Pertembungan musuh tetangga ubat luka
Pertembungan musuh tetangga di Stadium Etihad menemukan dua pasukan yang sama-sama bermasalah, masing-masing hanya menang sekali daripada tiga perlawanan.
Dua kekalahan berturut-turut City kepada Tottenham dan Brighton menimbulkan persoalan mengenai rombakan besar Guardiola selepas sekadar menamatkan musim lalu di tangga ketiga.
Masalah Guardiola tidak berkurangan sepanjang rehat antarabangsa dengan penyerang Mesir, Omar Marmoush disahkan terlepas aksi musuh tetangga itu kerana kecederaan lutut.
Selain itu, Rayan Cherki dan Mateo Kovacic masih belum cergas, manakala kecergasan John Stones, Rayan Ait-Nouri, Rico Lewis, Nico O’Reilly dan Abdukodir Khusanov turut diragui selepas menarik diri daripada tugasan antarabangsa.

United pula hanya menang hasil sepakan penalti saat akhir Bruno Fernandes menentang Burnley selepas sekali lagi dipalit kesilapan sendiri.
Kemenangan dramatik itu hadir selepas skuad Amorim tewas kepada Arsenal, seri dengan Fulham dan tersingkir memalukan daripada Piala Liga di tangan kelab divisyen empat, Grimsby.
Liverpool makin hebat
Isak mengakui tidak semua pihak faham sepenuhnya situasi di sebalik perpindahannya ke Liverpool, namun visi Arne Slot terhadap bekas penyerang Newcastle itu akan mula dizahirkan menentang Burnley malam Ahad ini.
Liverpool membayar rekod perpindahan Britain bernilai £125 juta (RM713 juta) untuk mendapatkan khidmat penyerang Sweden itu pada tarikh akhir perpindahan selepas rundingan panjang, yang membuatkan peminat Newcastle marah kerana sikapnya mendesak mahu berpindah.
Pemain berusia 25 tahun itu sudah berlatih bersama rakan sepasukan baharu minggu ini dan dijangka membuat penampilan sulung di Turf Moor.
Slot kini memiliki jentera serangan padu dengan Mohamed Salah, Florian Wirtz, Hugo Ekitike dan Cody Gakpo, menjadikan penampilan sulung Isak sesuatu yang pasti dinanti.

Memburu kejuaraan liga Inggeris ke-21, Liverpool kini mendahului liga dengan tiga kemenangan berturut-turut dan ketibaan Isak dilihat menambah tekanan kepada pencabar utama mereka.
Postecoglou kembali bersama Forest
Hanya tiga bulan selepas dipecat Tottenham, Postecoglou kembali ke London utara malam esok sebagai jurulatih baharu Nottingham Forest bagi aksi menentang Arsenal.
Forest melantik Postecoglou minggu ini selepas memecat Nuno Espirito Santo.
Kepulangan jurulatih Australia itu ke PL sedikit sebanyak menimbulkan rasa kepuasan peribadi.
Walaupun memenangi Liga Europa musim lalu untuk menamatkan kemarau trofi Tottenham selama 17 tahun, Postecoglou tetap dipecat oleh Daniel Levy – ironinya terpaksa meletak jawatan minggu lalu.
Namun pemilik Forest, Evangelos Marinakis terkenal lebih beremosi dan mendesak berbanding Levy.

Walaupun Nuno berjaya mengemudi Forest ke kancah Eropah buat kali pertama dalam 30 tahun, hubungan retak dengan Marinakis mengundang pemecatannya.
Marinakis terus menekan Postecoglou dengan menyatakan Forest kini dalam posisi mencabar kejuaraan utama, meskipun rekod musim lalu di Tottenham merupakan yang terburuk sejak 1976-77. – AFP
JADUAL PL MINGGU INI
Malam esok:
Arsenal mln Nottingham Forest (7.30 malam)
Bournemouth mln Brighton (10 malam)
Crystal Palace mln Sunderland (10 malam)
Everton mln Aston Villa (10 malam)
Fulham mln Leeds (10 malam)
Newcastle mln Wolves (10 malam)
West Ham mln Tottenham (12.30 tengah malam)
Awal pagi Ahad:
Brentford mln Chelsea (3 pagi)
Malam Ahad:
Burnley mln Liverpool (9 malam)
Manchester City mln Manchester United (11.30 malam)
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
