PM Anwar, Dr Wan Azizah Ziarah Sultan Hassanal Bolkiah Sebelum Baginda Berangkat Pulang Ke Brunei

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika menziarahi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di hotel penginapan baginda sebelum berangkat pulang pada 3 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berada dalam keadaan baik, selain proses pemulihan berjalan lancar selepas keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), Sabtu lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perkembangan itu dimaklumkan Perdana Menteri menerusi hantaran terbaharu di laman Facebooknya, malam ini.

Menerusi hantaran berkenaan, Anwar dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut memaklumkan berkesempatan menziarahi Sultan Hassanal sebelum baginda berangkat pulang ke Bandar Seri Begawan, Brunei, petang tadi.
Turut kelihatan Dr. Wan Azizah bersalaman bersama isteri Sultan Hassanal, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di lobi hotel penginapan baginda berdua di sini.

“Semoga baginda Tuanku dikurniakan keafiatan dan kekal qarar memerintah Brunei Darussalam,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Sultan Hassanal telah dibenarkan keluar dari IJN kelmarin, selepas menerima rawatan sejak Selasa lalu.

Menerusi hantaran di Facebook, Jabatan Penerangan Brunei Darussalam memaklumkan baginda kini bersemayam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Sultan Hassanal, 78, tiba di Malaysia pada 25 Mei lalu untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 26 dan 27 Mei.

Baginda dilaporkan berehat di IJN sejak 27 Mei kerana keletihan usai menghadiri sidang kemuncak berkenaan sepanjang tempoh berkenaan.
Sultan Hassanal menaiki takhta pada 1967. Baginda adalah antara individu terkaya di dunia dan berasal daripada keluarga diraja yang memerintah Brunei, sejak lebih 600 tahun.

Pemerintahan baginda selama beberapa dekad lalu, menyaksikan Brunei mencapai kemerdekaan penuh daripada Britain serta peningkatan taraf hidup rakyat kepada antara tertinggi di dunia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
