Lawatan Presiden Guinea-Bissau Tingkat Profil Malaysia Usai Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embaló diiringi Johari Abdul Ghani selaku menteri pengiring semasa ketibaan beliau di Kompleks Bunga Raya KLIA pada 3 Jun 2025. Foto Wisma Putra
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Ketibaan Presiden Guinea-Bissau, Umaro Sissoco Embaló di Malaysia pada Selasa bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari disifatkan amat bermakna kepada hubungan kedua-dua negara.
Lawatan sulung Embaló ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Februari 2020 membuktikan bahawa Malaysia merupakan salah sebuah negara ASEAN yang boleh membantu mereka dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat bersama.
“Kehadiran Presiden Guinea-Bisaau buat pertama kali ke negara kita terus meningkatkan profil kita apatah lagi kejayaan negara menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bersama ASEAN-GCC ke-2 dan ASEAN-GCC-China buat julung kalinya minggu lalu.

“Lawatan bersejarah ini juga membawa mesej diplomatik dinamik Malaysia serta membuka lembaran baharu tetapi berhati-hati terutama menangani isu-isu antarabangsa seperti tarif Amerika dan konflik di Gaza,” kata penganalisis politik hari ini.
Terdahulu pesawat yang membawa Embaló mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3 petang.
Sejurus tiba, beliau memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga merupakan menteri pengiring bagi lawatan tersebut menyambut ketibaan Embaló.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kunjungan ini berteraskan komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala, termasuk di platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
Presiden Embaló dijadual diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, esok, diikuti dengan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perbincangan akan tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan serta pembangunan kapasiti. Kedua-dua pihak juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Anwar turut akan meraikan Embaló dan delegasi yang terdiri daripada Menteri Perancangan Ekonomi dan Integrasi Serantau Guinea-Bissau, Soares Sambú serta pegawai kanan Kabinet Presiden, dalam satu jamuan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
