Mesyuarat JKKTN Setuju Bentuk Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 3 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada Selasa bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS) bagi mengukuhkan kredibiliti pengurusan dasar fiskal negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, penubuhan JTKS tersebut adalah susulan Mesyuarat JKKTN yang dipengerusikan beliau hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Audit Negara Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi serta Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
“Perhatian serius diberikan terhadap penemuan audit berkaitan ketakteraturan kewangan yang berpotensi menjejaskan kredibiliti pengurusan fiskal negara.

“Sehubungan itu, dan selari dengan pengukuhan peranan Jabatan Audit Negara melalui pindaan kepada Akta Audit 1957, mesyuarat bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS),” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penubuhan JTKS itu bertujuan memastikan tindakan susulan yang lebih holistik, bersasar dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan, selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti.

Semua pihak yang terlibat dalam jawatankuasa berkenaan akan memastikan tahap pematuhan dasar fiskal negara berada pada kedudukan terbaik sepanjang masa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
