PM Anwar Buat Kejutan Dalam Penerbangan, Adakan Sidang Media Tergempar Menuju Johannesburg

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media terhempar dalam pesawat Airbus A350-900 yang sedang terbang pada ketinggian 12,192 meter setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole di Addis Ababa menuju Pretoria, Afrika Selatan pada 20 November 2025. Foto PMO
JOHANNESBURG, 21 Nov – Ketika pesawat Airbus A350-900 disewa daripada Malaysia Airlines (MAS) yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang terbang dengan tenang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole di Addis Ababa, apabila suasana tiba-tiba bertukar kecoh dalam kabin semalam.
Sekumpulan wartawan yang mengikuti penerbangan perdana menteri tiba-tiba dikejutkan daripada tempat duduk mereka dan secara tergesa-gesa mencapai kompartmen atas untuk mengambil tripod, kamera video dan peralatan rakaman kira-kira dua jam selepas penerbangan bermula.

Ketika itu, pesawat berada pada ketinggian sekitar 12,192 meter dalam penerbangan menuju ke Pangkalan Tentera Udara Waterkloof di Pretoria, dalam perjalanan lima jam yang sepatutnya rutin dari ibu negara Ethiopia ke pusat pentadbiran Afrika Selatan.
Anggota media di bahagian belakang pesawat segera bersiap-sedia selepas dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Kanan Anwar, Tunku Nashrul Abaidah, bahawa bosnya mahu bercakap kepada wartawan dan bersedia menjawab apa sahaja soalan mereka.

Ketika kumpulan wartawan mula bertindak pantas, Anwar melangkah santai menuju ke bahagian dapur belakang pesawat sambil menyapa penumpang yang terdiri daripada tokoh korporat terkemuka, ketua pegawai eksekutif syarikat tersenarai dan pegawai kerajaan.
Pramugara dan pramugari yang sedang mengemas selepas menghidangkan minuman juga sukar menyembunyikan keterujaan apabila Anwar meminta secawan teh sementara menunggu wartawan menyiapkan peralatan mereka.

Anwar kemudian menghabiskan lebih sejam menjawab soalan daripada isu kontroversi membabitkan setiausaha politiknya dan surat sokongan untuk pembida projek hospital hinggalah kemarahan awam terhadap skandal FAM membabitkan tujuh pemain naturalisasi, antara lain.
Perdana menteri berada dalam suasana ceria dan kemudian berbual santai dengan wartawan dalam sesi `off-the-record’, menyentuh pelbagai perkara menarik daripada politik hinggalah isu nasional lain.

Beliau kemudiannya memenuhi permintaan mereka yang meminta bergambar dan berswafoto, termasuk ramai penumpang yang berkumpul di belakang pesawat untuk melihat apa yang sedang berlaku.
Selesai sesi itu, Anwar kembali ke tempat duduknya sebelum pesawat meneruskan penerbangan selama kira-kira dua jam lagi dan mendarat di Pretoria sekitar jam 6.40 petang waktu tempatan.

Perdana Menteri berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20). Lawatan kerja selama empat hari sehingga Ahad itu atas jemputan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.
Jemputan ke sidang kemuncak itu diberikan kepada Anwar atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; pegawai kerajaan Malaysia serta serta delegasi perniagaan.
Delegasi Perdana Menteri akan berlepas ke Nairobi, Kenya, pada Ahad ini untuk lawatan rasmi sebelum pulang ke tanah air keesokan harinya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
