PM Anwar Bincang Hala Tuju Ekonomi Dengan Johari, KJ Di Putrajaya

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Johari dan Khairy dalam membincangkan hala tuju ekonomi negara di Pejabat Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim.
PUTRAJAYA, 16 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan bersama Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkait hala tuju ekonomi di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata perbincangan itu turut melibatkan ahli ekonomi lain seperti Nungsari Ahmad Radhi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Noor Azlan Ghazali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron.
Menurut catatan itu, pertemuan ini diadakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

“Perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.
“Pakar ekonomi yang saya temui hari ini juga bersetuju bahawa kita punyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul,” katanya dalam hantaran itu.
Beliau berkata, sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran.
“Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan bertekad bekerja keras untuk memacu pertumbuhan inklusif dan mampan.
“Pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat,” katanya.
Pertemuan itu dianggap satu strategi baik bagi mendapatkan input kedua selain memberi dimensi baharu terhadap keterbukaan Perdana Menteri menerima apa saja pandangan positif demi kesejahteraan ekonomi rakyat dan negara.
