PM Anwar Bidas Pihak Pertikai Jemputan Kepada Trump

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Kompleks Kuarters ATM Taman Samudera, Sandakan pada 27 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
SANDAKAN, 27 Sep – Tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan jemputan rasmi kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan, dibidas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin semasa sidang kemuncak berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran, namun dengan cara berstrategi.
Perdana Menteri berkata, walaupun bukan negara besar, Malaysia tetap dihormati dunia kerana pendirian yang konsisten dalam mempertahankan keadilan serta kebebasan bersuara di pentas antarabangsa.

“Malaysia lantang mempertahankan Palestin, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik. Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan.
“Sebab itu kita kena pandai berunding. Suara kita tetap menyatakan yang benar dan hak tetapi dengan cara bijaksana,” kata beliau pada Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan di sini pada Sabtu.

Terdahulu menerusi perbualan telefon antara Anwar dan Trump di Putrajaya, beliau menerima penghargaan kepada inisiatif Malaysia menjadi pemudah cara gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, sekali gus mengiktiraf peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Menurut Anwar, ia merupakan salah satu mekanisme penting dalam menjamin kestabilan dan keamanan serantau termasuk melindungi kepentingan Amerika Syarikat di Asia Pasifik secara tidak langsung.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
