BUDI95: Pengumuman PM Anwar Cetus Fenomena, 26 Ribu Lesen Memandu Dibaharui Setiap Hari!

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Himpunan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi KEADILAN di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar, Kalabakan pada 26 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

MELAKA, 27 Sep – Pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan subsidi petrol RON95 menerusi BUDI MADANI 95 (BUDI95) mencetuskan fenomena apabila sebanyak 26,000 transaksi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) direkodkan setiap hari sejak 22 September lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah itu melonjak 53 peratus berbanding purata harian sebelum ini iaitu kira-kira 17,000 transaksi selepas Perdana Menteri menerusi Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kelayakan menikmati subsidi berkenaan bermula 30 September ini.

“Berdasarkan rekod, sejumlah 23,125 transaksi dicatatkan pada 23 September, meningkat sedikit iaitu 0.15 peratus kepada 23,160 transaksi pada esoknya.

Aedy Fadli menyempurnakan Majlis Pentauliahan Tamat Kursus Profesionalisme Pegawai Pengangkutan Jalan Tahun 2025 di Akademi JPJ, di Ayer Molek pada 27 September 2025. Foto Amran Ali

“Jumlah itu kemudiannya melonjak secara signifikan 45.6 peratus kepada 33,714 transaksi pada 25 September. Pembaharuan lesen ini dibuat melalui saluran sedia ada termasuk kaunter JPJ, Pos Malaysia serta platform dalam talian MyEG,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pentauliahan Tamat Kursus Profesionalisme Pegawai Pengangkutan Jalan 2025 di Akademi JPJ Ayer Molek, di sini hari ini.

Menurutnya, negeri yang bercuti hujung minggu pada Jumaat seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu turut mencatatkan jumlah lebih tinggi berbanding negeri lain selepas JPJ membuka kaunter pada hari cuti, semalam.

Kaunter JPJ dijangka akan diserbu rakyat hujung minggu ini selepas ‘serbuan’ ke atas pejabat JPN bermula minggu ini.

“Trend ini menunjukkan orang ramai semakin proaktif memperbaharui lesen untuk menikmati manfaat BUDI RON95, selain membuktikan kesedaran terhadap kepentingan memiliki lesen sah seperti termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bermula hujung minggu ini hingga 26 Oktober, semua kaunter JPJ berkaitan urusan lesen memandu serta semakan saman termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pejabat negeri akan dibuka setiap Sabtu dan Ahad di seluruh negara,” ujarnya.

Katanya, langkah itu dapat memberi peluang kepada mereka yang tiada aplikasi MyJPJ atau telefon pintar serta penduduk di kawasan sukar akses internet untuk memperbaharui lesen.

Ini sekali gus membuktikan bahawa kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab memastikan lesen memandu mereka sah dan aktif di jalan raya sebenarnya melindungi mereka daripada sebarang tindakan undang-undang serta pemanduan mereka dilindungi insurans setiap masa.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *