PM Anwar Arah Tiada Tindakan Terhadap Mahasiswa UMS Bakar Karikatur – PMO

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah ketika menyampaikan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya pada 24 Jun 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 24 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar tidak mengambil tindakan terhadap mahasiswa yang membakar karikatur dipercayai mirip beliau di Kota Kinabalu, Sabah baru baru ini.

Arahan tersebut disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), di sini hari ini.

“Selaras dengan pendekatan MADANI yang mengutamakan nilai ihsan, YAB Perdana Menteri turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar pelajar yang terlibat tidak disekat perjalanan akademiknya.

“Masa depan anak muda tidak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan,” jelasnya.

https://www.facebook.com/share/v/1EJxdYYefa/?mibextid=wwXIfr

Menurut Tunku Nashrul lagi, Perdana Menteri selaku aktivis mahasiswa dan reformis, beliau sentiasa mempertahankan hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Insiden pembakaran karikatur Perdana Menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini mengingatkan kita betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.

“YAB Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu, beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana, adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi,” katanya.

Perdana Menteri selaku aktivis mahasiswa dan reformis, beliau sentiasa mempertahankan hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri juga jelasnya menitip pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.

Justeru, di pihak kerajaan komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.

Ahad lalu, sekumpulan mahasiswa di Sabah bertindak membakar poster Anwar sebagai protes terhadap gejala rasuah di negeri itu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *