PM Anwar Arah Semua Kementerian Selaras Bantuan Pastikan Tiada Rakyat Tercicir

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya pada 12 Mei 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 12 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian menyelaras semula inisiatif masing-masing bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada sebarang bantuan disediakan kerajaan.
Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri berkata, beberapa cadangan dan inisiatif penting diteliti bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi negara sepanjang krisis bekalan global.

Antara yang dibincangkan adalah cadangan pengurangan kadar sewa premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), menurut hantaran itu yang dikongsikan Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini, hari ini.
“Saya tegaskan bahawa lebih banyak PBT di seluruh negara perlu melaksanakan inisiatif ini bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang terhimpit dengan peningkatan kos operasi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga telah dimulakan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Katanya, pendekatan ihsan itu wajar dicontohi oleh PBT di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar.

“Mesyuarat turut meneliti pelbagai langkah strategik bagi mendepani ketidaktentuan global dan kesan kenaikan kos sara hidup, termasuk pembangunan Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global serta cadangan penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga.
“Mengambil kira impak krisis yang semakin memberi tekanan kepada harga barangan harian, saya telah mengarahkan setiap kementerian untuk menyelaras semula inisiatif, usaha dan bantuan supaya sampai kepada kumpulan sasaran serta memastikan tiada yang tercicir, khususnya golongan miskin dan rentan,” katanya.

Anwar berkata, MTEN akan terus memberi fokus utama kepada usaha menjamin kelangsungan bekalan serta melindungi rakyat, khususnya golongan rentan dan peniaga kecil agar mereka tidak terus terbeban akibat kejutan ekonomi global.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
