PM Anwar Arah Projek Perumahan TLDM Sandakan Dipercepat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Kompleks Kuarters ATM Taman Samudera, Sandakan pada 27 September 2025. Foto Facebook APM Sandakan
SANDAKAN, 27 Sep – Isu kebajikan dan keselesaan warga tentera di seluruh negara, amat dititik beratkan dalam memastikan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.
Justeru, gesaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan projek pembinaan perumahan Angkatan Tentera dengan peruntukan RM190 juta di Batu 10 di sini, disegerakan amat kena pada masanya.
Menurut Perdana Menteri, isu berkaitan masalah tanah bagi projek berkenaan akan cuba diselesaikan dengan kerjasama kerajaan negeri yang berkuasa dalam hal ehwal pentadbiran tanah.

“Saya minta laporan kemajuannya (projek) dalam tempoh dua minggu, mungkin dalam mesyuarat (Kabinet) akan datang dan Panglima Angkatan Tentera memberi laporan, saya nak tahu supaya dipercepat,” katanya.
Anwar berkata demikian pada majlis Sarapan Mesra Wira Samudera di Dewan Azim, Taman Samudera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan telah meluluskan pembinaan jeti baharu di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) yang bernilai RM122 juta, tahun ini.
Beliau berkata kedua-dua projek itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terpelihara.
Sementara itu, Mohd Nizam melahirkan penghargaan terhadap Perdana Menteri yang sudi meluangkan masa menyantuni warga ATM serta melihat sendiri pelaksanaan projek yang telah diluluskan itu.

Bagi projek pembinaan Kuarters Perumahan Angkatan Tentera melibatkan 225 unit rumah, Mohd Nizam berkata ia berada pada proses akhir tender dan dijangka siap pada 2030.
“Kami akan pastikan tidak ada kelewatan kerana perumahan adalah satu daripada kebajikan yang dititikberatkan sekarang,” katanya.
Mohd Nizam turut berterima kasih atas keprihatinan kerajaan MADANI yang menjadikan anggota pasukan keselamatan sebagai kumpulan peringkat pertama menerima Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter menerusi BUDI95.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
