BUDI95: Kemampuan Pelayan Proses 30,000 Transaksi Seminit Faktor Kejayaan Utama

Zulfadli sedang membuat pengesahan MyKad menerusi terminal Budi95 di pam sebuah stesen minyak di Kuala Terengganu pada 27 September 2025.
KUALA TERENGGANU, 27 Sep – Kapasiti transaksi yang ditingkatkan kepada 30,000 pengguna setiap minit menjadi faktor utama kelancaran pembelian petrol bersubsidi RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI 95 (BUDI95) sejak dibuka kepada anggota polis dan tentera hari ini.
Menurut tinjauan, purata tempoh pembelian minyak berharga RM1.99 seliter itu hanya mengambil masa dua minit termasuk proses pengesahan kelayakan, iaitu hampir sama seperti membeli petrol pada harga RM2.05 sebelum ini.
Ini membuktikan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan kemampuan pelayan (server) yang mampu memproses 30,000 transaksi setiap minit, benar-benar berlaku hari ini.

Seramai 300,000 anggota polis dan tentera kini boleh membeli RON95 pada harga subsidi berkenaan mulai tengah malam tadi dan peningkatan transaksi bermula sejak jam 8 pagi tadi mendapati tiada aduan dilaporkan berhubung kegagalan melaksanakan transaksi pengesahan kelayakan dan pembelian.
Laporan dari Terengganu hari ini dilihat berjalan lancar dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kumpulan terawal menikmati manfaat itu.

Tinjauan di beberapa stesen minyak sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus mendapati sistem berfungsi dengan baik tanpa sebarang gangguan manakala pengguna hanya mengambil masa kurang dua minit untuk melengkapkan transaksi pembelian petrol.
Salah seorang pengguna terawal, Asisten Superintendan Zulfadli Zulkifli berkata, proses pembelian petrol di stesen minyak berjalan pantas dan lebih mudah dengan sistem baharu itu.
“Semuanya berjalan dengan baik cuma saya nampak stesen minyak besar lebih mudah sebab semua pamnya dilengkapi kemudahan terminal pengesahan MyKad.
“Ia lebih menjimatkan masa. Saya nampak tiada masalah dari segi sistem, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika di salah sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Seorang lagi anggota polis, Mohammad Asyraf Mohammad Fetri turut berpuas hati walaupun mengakui segelintir kakitangan stesen minyak sedikit keliru memandangkan ia hari pertama dilaksanakan.
“Bagi saya proses itu mudah dan cepat sahaja cuma mungkin ini hari pertama, segelintir jurupam masih sedikit keliru hendak guna macam mana,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Mariam Abu Hassan pula menghargai kerajaan kerana memberi peluang anggota PDRM dan ATM menjadi antara golongan terawal menggunakan BUDI95.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

