PM Anwar Akhiri Lawatan Kerja Bertemu Para Pemimpin Singapura

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam di The Istana pada 31 Mei 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
SINGAPURA, 31 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membincangkan isu-isu penting dua hala dengan para pemimpin Singapura termasuk hal ehwal sempadan dan maritim, tenaga boleh baharu serta inisiatif serantau seperti Grid Kuasa ASEAN sebelum mengakhiri lawatan kerja sehari ke republik itu.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2025 mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam dan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Lawrence Wong di The Istana sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

“Kami turut mengkaji semula projek-projek yang sedang berjalan seperti Sistem Transit Rapid (Rapid Transit System-RTS Link) Johor Bahru-Singapura, yang dijadualkan siap pada akhir 2026, dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka mampu meningkatkan pertumbuhan serantau,” katanya.
Beliau juga optimistik lawatan itu akan memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Singapura demi faedah kedua-dua negara.

Sementara itu PM Wong, juga menerusi hantaran di laman Facebook, pula berkata beliau berharap dapat meneruskan kerjasama rapat antara Malaysia dan Singapura demi manfaat rakyat kedua-dua negara jiran itu.
Semasa lawatan itu, Anwar telah menyampaikan perutusan khas pada Dialog Shangri-La ke-22 yang turut dihadiri Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Jumaat.

Yang turut hadir Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan para pegawai kementerian republik itu.
Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth dan Presiden Boeing Global Dr Brendan Nelson dengan bertukar-tukar perkongsian dan maklumat demi faedah bersama.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
