PM Anwar Adakan Pertemuan Bersama Pimpinan Tertinggi ATM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Mohamed Khalid, Shamsul Azri dan Malek hadir pada program Ihya’ Ramadan bersama Perdana Menteri di Kementerian Pertahanan pada 24 Februari 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 24 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan bersama pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Perjumpaan berlangsung kira-kira satu jam itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Datuk Malek Razak Sulaiman.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim.

Difahamkan pertemuan itu antara lain membincangkan aspek kesiapsiagaan keselamatan dan pertahanan negara, pemerkasaan tadbir urus dan kebajikan seluruh warga ATM.

Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tiba di Wisma Perwira pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, disambut Mohamed Khaled dan pimpinan tertinggi ATM.

Selesai pertemuan itu, Anwar menyertai Program Ihya Ramadan Kementerian Pertahanan bersama Perdana Menteri di Masjid Khalid bin Al-Walid di sini, yang dihadiri ratusan jemaah dalam kalangan pegawai dan anggota ATM.

Beliau kemudian menunaikan solat Zohor berjemaah sebelum mengedarkan bubur lambuk kepada jemaah yang hadir. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
